fbpx

Tindakan pemilik KDA FC berterus terang dipuji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. DAUD (tengah) dipuji ekoran tindakannya meleraikan pertanyaan dalam kalangan penyokong pasukan setelah pelbagai khabar angin mengenai isu gaji diperkatakan di media sosial.

ALOR SETAR – Tindakan pemilik Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Tan Sri Mohd. Daud Bakar tampil menerangkan kedudukan sebenar masalah aliran tunai pasukan yang membawa kepada tunggakan dua bulan gaji jurulatih, pegawai dan pemain pasukan dipuji dua ‘orang kuat’ yang pernah memacu kejayaan pasukan Kedah sebelum ini.

Menurut bekas jurulatih Kedah, Azraai Khor Abdullah, tindakan sedemikian setidak-tidaknya meleraikan pertanyaan yang bersarang dalam kalangan penyokong pasukan itu selama ini setelah pelbagai khabar angin mengenainya diperkatakan di media sosial.

Pada masa sama katanya, Mohd. Daud turut menjelaskan beberapa langkah yang mahu dilaksanakan termasuk menjual saham syarikat miliknya sendiri bagi memastikan kantung KDA FC mencukupi.

“Bagi saya Mohd. Daud seorang yang ‘gentlemen’. Jarang sekali ada pihak pengurusan yang berani berterus-terang sebegitu dan tampil menyatakan usaha untuk memperbetulkan keadaan.

“Kita nampak kejujurannya apatah lagi beliau turut menyatakan kesediaan menjual saham milik syarikatnya sendiri bagi mengisi kantung KDA FC. Bagi saya, sikap sebegini wajar dipuji,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Sementara itu, bekas kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar turut memuji langkah berterus-terang Mohd. Daud yang disifatkannya mampu menepis tanggapan negatif terhadap pasukan.

Katanya, semua pihak perlu memberi ruang kepada Mohd. Daud untuk melaksanakan sesuatu buat Kedah memandangkan ia tahun pertama beliau terjun ke dalam kancah bola sepak.

“Ketulusan beliau dalam memberi penerangan itu sesuatu yang harus dipuji. Saya fikir, sikap sebegini wajar dicontohi pemilik atau pengurusan lain.

“Sebagai bekas pemain, sejujurnya saya memiliki keyakinan terhadap Mohd. Daud kerana beliau mampu membaiki keadaan, malah sudah ada beberapa perubahan dilakukannya dalam pasukan. Nak jaga sesebuah pasukan bukan tugas mudah dan saya berharap, semua pihak dapat memberikan masa serta ruang kepadanya membuktikan sesuatu,” katanya.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun itu, kenyataan Mohd. Daud mengenai usahanya untuk memperkenalkan model perniagaan baharu bagi memperkasakan kewangan KDA FC musim depan turut perlu diberi perhatian.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI