MATA masyarakat dunia kini terarah ke Palestin dan keadaan rakyat di negara Asia Barat itu.
Sukar digambarkan dengan kata-kata keperitan yang harus dilalui oleh mereka selepas menjadi mangsa serangan Israel melalui rejim Zionis.
Saban hari, ramai rakyat negara itu yang tidak berdosa kembali ke ‘negeri abadi’ akibat bedilan bom Israel.
Keadaan tersebut pasti amat dekat dengan salah seorang rakyat Malaysia yang pernah menetap dan melakukan kerja-kerja kemanusiaan di Semenanjung Gaza iaitu Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman.
Sepanjang hampir sedekad menetap di sana, dia juga pernah berhadapan dengan beberapa siri peperangan di negara tersebut.
Pun begitu, serangan kali ini ditakdirkan lelaki yang mesra disapa Nadir tidak berada di sana.Ini kerana, dia harus menyelesaikan beberapa urusan di Malaysia.
Katanya, dia cuba untuk keluar dari Semenanjung Gaza sejak tujuh bulan lalu, tetapi tidak berjaya.
“Ditakdirkan saya berjaya keluar dari Gaza untuk melaksanakan kerja-kerja menyusun pelan strategi buat pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Selepas tiga minggu saya keluar, bermulalah peperangan seperti mana yang kita ketahui sekarang,” katanya yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif, Cinta Gaza Malaysia.
Tambahnya, dalam keadaan sekarang, pintu sempadan telah dibom dan tidak boleh berlaku sebarang pergerakan keluar dan masuk.
Ujarnya, jika ikutkan hati, dia ingin segera pulang ke sana untuk bersama isteri dan anak-anaknya melalui situasi getir tersebut.
“Isteri saya memberi amaran supaya saya tidak balik ke Gaza, dia menyatakan bahawa mereka biar Allah SWT yang jaga.
“Ini yang membuatkan rasa serba salah saya kepada keluarga sedikit hilang,” jelasnya yang berkahwin dengan wanita Palestin, Reem iaitu balu kepada seorang syahid pada tahun 2016.
Sepanjang perkahwinan itu, Nadir dikurniakan dua cahaya mata, selain lima anak tiri hasil perkongsian hidup isterinya bersama suami terdahulu.

Nadir menjelaskan, sepanjang tinggal di Gaza sejak tahun 2013, dia telah melalui pelbagai pengalaman.
Untuk berkongsi pengalaman itu, dia telah menerbitkan dua buah buku yang berjudul Anak Melayu Di Palestin Sedekad Di Penjara Terbesar Dunia yang diterbitkan pada 2021 dan Seinci dari Kematian yang diterbitkan pada 2022.
Berkongsi kisahnya, Nadir menjelaskan, dia berhijrah ke Gaza kerana melanjutkan pengajian di Universiti Islam Gaza.
Sebelum itu, dia melanjutkan ijazah kedua di dalam bidang syariah di Syria pada 2011.
Disebabkan perang yang meletus di Syria, dia telah kembali ke Malaysia pada pertengahan tahun 2012, sebelum mengambil keputusan untuk melanjutkan pengajian di Gaza dan menetap di sana.
Dalam bukunya, Nadir menceritakan, ramai nyawa yang terkorban dalam perarakan aman The Great Return March pada Mac 2018.

Menurutnya, ramai individu yang Allah SWT ambil nyawa sebagai syuhada dan kisah mereka tersebar luas walaupun mereka kurang dikenali.
“Berita syahid yang paling ‘mengoyak’ perasaan saya adalah apabila anak kecil berumur 15 tahun, Muhammad Ayyub ditembak di kepala dalam salah satu perarakan pada hari Jumaat.
“Tatkala diusung jururawat, ayahnya menerpa anaknya dan berkata, ‘Maafkan aku wahai anakku, engkau syahid dalam kelaparan, sebulan aku tidak dapat mengisi perutmu kerana tidak ada apa-apa di rumah’,” katanya.
Malah, Nadir sendiri berhadapan dengan situasi getir apabila di kiri dan kanannya para pemuda tumbang ke tanah.
Ia ekoran daripada ‘explosive bullet’ yang disasarkan ke lutut dan kaki sehingga mengakibatkan mangsa tumbang.
Selain itu, Nadir berkongsi tentang peristiwa Black Friday Gaza yang berlaku pada perang 2014.
Menurutnya, peristiwa itu berlaku pada 1 Ogos di kawasan Rafah yang terletak di selatan Semenanjung Gaza.
“Ketika itu, perang masih lagi berterusan, tetapi penduduk merasakan sedikit keamanan kerana gencatan senjata untuk beberapa hari telah diumumkan.
“Dalam tempoh gencatan senjata, penduduk akan mengambil peluang untuk kembali ke rumah masing-masing,” jelasnya.
Tambahnya, rejim Zionis tidak mengenali sempadan undang-undang antarabangsa dan jauh sekali menghormati serta meletakkan nilai pada hak asasi manusia.
Baru beberapa minit gencatan senjata diumumkan, Israel mendapat berita bahawa salah seorang tenteranya ditawan mujahidin.
Kemudian, mereka mengarahkan pelaksanaan Protokol Hannibal yang membenarkan pemimpin tentera mengambil apa-apa sahaja tindakan kepada Palestin.
Kereta kebal dan pesawat perang udara mula ‘membantai’ kawasan yang dikatakan menjadi tempat persembunyian mujahidin tanpa mengambil kira orang awam.
Dalam masa tiga jam pertama serangan, 140 orang penduduk syahid dan ratusan lagi cedera.
Mayat kanak-kanak terpaksa diletakkan di dalam peti sejuk aiskrim kerana ruang di bilik mayat hospital tidak mencukupi.
Dalam naskhah tersebut juga, Nadir berkongsi bahawa selama 51 hari perang di Gaza pada 2014 nyawanya hampir beberapa kali tergadai.
Paling hampir adalah ketika roket Zionis meledak di sebuah bangunan yang selang satu blok dari kediamannya.
Dalam pada itu, Nadir berkata, ketika awal-awal berada di Gaza, dia sangat suka bersosial dengan anak muda.
Di sana, penjajah Israel mengawal sempadan dengan begitu ketat dan pemuda Palestin mempunyai hobi mereka tersendiri.
Antara hobi mereka adalah keluar ke sempadan setiap hari Jumaat selepas makan tengah hari.
Mereka ke sana untuk melihat dari jauh tanah yang telah dirampas dan memasang impian untuk kembali ke situ pada satu hari nanti.
Kewujudan mereka di sempadan pastinya tidak disenangi oleh tentera Israel yang menjaga kawasan itu.
“Sesekali saya mengikut mereka dan terkejut apabila tentera pengecut itu berasa terancam dan tembakan akan dilepaskan secara rawak.
“Setiap kali kedengaran bunyi peluru melintasi kepala, kami akan meniarap secara spontan, kemudian duduk semula dan pemuda-pemuda ini ketawa.
“Saya bertanya, kenapa mereka bergerak ke sempadan sedangkan ia berisiko tinggi? Mereka ketawa dan berkata, saja-saja, kami suka buat tentera Israel naik gila,” jelasnya.
Nadir juga menjelaskan bahawa penduduk Gaza dikenali sebagai kelompok masyarakat yang paling berani, keras hati dan susah ditundukkan.
Di Gaza, langsung tidak ada penduduk Zionis, berbeza dengan kawasan-kawasan lain di Palestin.
Ini kerana pada 2005, Ariel Sharon yang ketika itu Perdana Menteri Israel mengarahkan supaya penduduk Zionis yang berada di dalam Gaza supaya keluar dan berpindah ke tempat lain.
“Puncanya adalah kerana terlalu banyak operasi yang dijalankan ke atas penempatan haram.
“Risiko keselamatan pada penduduk Yahudi terlalu tinggi. Maka, keluarlah bangsa pengecut tersebut dari Gaza lalu menjadikannya kubu dan benteng terakhir Palestin yang masih tidak dapat ditembus sehingga kini,” jelasnya.
















