PETALING JAYA – Sedih, kecewa, keliru dan kemurungan. Itu pengalaman seorang wanita dikenali sebagai Munirah apabila berdepan titik hitam dalam hidupnya apabila terkena sihir pemisah angkara ibu mentua sendiri.
Mangsa berusia 35 tahun itu tidak menyangka masih ada lagi individu yang gemar menggunakan perbuatan khurafat untuk tujuan menjatuhkan orang lain.
Malah, dia juga tidak pernah sedikitpun terfikir ibu mentuanya adalah si pelaku gara-gara tidak menyukai dirinya sebagai menantu.
“Saya kenal suami tak sampai tiga bulan, dia terus buat keputusan ajak saya kahwin. Ibunya pula kurang berkenan dengan saya kerana mempunyai pilihan calon lain yang anaknya sendiri tidak suka.
“Sebelum kahwin, ibu mentua hanya berdiam meskipun tahu dia tak suka saya, tapi apabila suami pujuk, dia akur dengan keputusan anaknya itu,” katanya kepada Kosmo! Ahad.
Munirah berkata, selepas sehari bergelar seorang isteri, dia sukar untuk tidur malam dan sering berasa badannya ditindih sesuatu.
“Awal-awal kena saya diamkan diri, fikir mungkin sebab badan penat uruskan hal kenduri. Dah nak masuk tiga minggu, saya masih alami masalah sama. Paling teruk tiga hari saya tak boleh tidur sehingga terpaksa ambil cuti bekerja.
“Saya ada kongsi dengan ibu saya dan ibu minta saya berjumpa dengan seorang kenalannya (ustaz) untuk berubat sebab sudah rujuk hospital pun masih sama,” katanya.
Menurut Munirah, selepas berubat dengan seorang pakar, selang seminggu gejala yang dihadapinya benar-benar seperti orang terkena sihir pemisah.
Katanya, kadangkala dia seperti orang sedang meracau dan kehidupannya bersama suami menjadi hura-hura.
“Tanpa sedar saya menangis tiba-tiba, marah tiba-tiba. Suami balik kerja saya akan jadi marah, jadi benci apabila nampak suami, apa dia buat semua tidak kena pada mata saya. Kami hari-hari bergaduh dah tak macam suami isteri.
“Sekali lagi saya berubat, dan pakar kata saya terkena sihir pemisah dan ia dihantar melalui panggilan daripada orang terdekat,” katanya.
Ujarnya, dia akhirnya sedar selama ini panggilan setiap hari yang dibuat oleh ibu mentuanya adalah asbab untuk wanita itu menghantar sihir kepadanya.
“Hampir setiap hari ibu mentua akan hubungi saya, ada masa bercerita macam-macam, ada masa hanya tanya khabar dan kemudian matikan telefon.
“Cumanya apa yang pelik, setiap kali ingin berbual, ibu mentua akan tanya sama ada saya sendiri atau bersama suami. Kalau saya kata bersama suami, terus dia matikan panggilan.
“Saya tak mahu tuduh bukan-bukan sebab hormat dia sebagai mentua, tapi Allah maha melihat dan adil, akhirnya kejahatannya selama ini buatkan saya terseksa terbongkar,” luahnya.
Munirah mengambil keputusan bercerita pada suami tentang perbuatan jahat ibunya, namun dia pula yang disalahkan sehingga lelaki itu naik berang.
Akhirnya, perkahwinan mereka hanya mampu bertahan selama lima bulan sebelum suaminya mengambil keputusan menceraikannya atas desakan keluarga mentua.














