fbpx

Tubuh jawatankuasa pantau penerima geran PPSMI – Mitra

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ramanan bercakap kepada media selepas sesi Penyerahan Surat Pemakluman Kelulusan Geran Program Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India Malaysia (PPSMI) Tahun 2023 di Auditorium Setia Perkasa Putrajaya, hari ini. Foto oleh FAIZ ALIF ZUBIR/ KOSMO!

PUTRAJAYA – Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) akan menubuhkan sebuah jawatankuasa pemantauan bagi memastikan peruntukan geran Program Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India Malaysia (PPSMI) berjumlah RM27.19 juta digunakan secara telus.

Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas (JPPK) Mitra, Datuk R. Ramanan berkata, jawatankuasa tersebut akan dipengerusikan sendiri olehnya bagi menjalankan tugas-tugas pemantauan dan pemeriksaan secara mengejut ke atas organisasi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menerima geran peruntukan.

“Satu jawatankuasa pemantauan akan ditubuhkan yang akan dipengerusikan oleh saya dan saya sendiri akan buat lawatan mengejut, turun ke program-program atau hantar pegawai Mitra untuk periksa bagaimana mereka kendalikan program termasuk maklum balas daripada rakyat,” katanya kepada pemberita selepas sesi penyerahan surat pemakluman kelulusan geran PPSMI 2023 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ramanan yang juga ahli Parlimen Sungai Buloh itu berkata, Mitra menerima sebanyak 2,373 permohonan daripada pelbagai organisasi bernilai RM773 juta sehingga tarikh tutup pada 28 Mei lalu.

Menurutnya, daripada jumlah tersebut, sebanyak 352 organisasi telah dipanggil untuk pembentangan dalam mesyuarat jawatankuasa kerja Mitra dengan 183 permohonan sahaja bernilai RM27.19 juta disyorkan untuk menerima geran, manakala bakinya masih dalam proses akhir penilaian.

Jelasnya lagi, geran yang diluluskan adalah berfokus kepada tiga skop utama program Mitra iaitu pendidikan dan pengajian tinggi, ekonomi dan latihan kerjaya serta kebajikan dan kesejahteraan sosial.

“Saya ingin tegaskan bahawa semua proses permohonan geran dilaksanakan secara telus berdasarkan garis panduan permohonan geran Mitra.

“Semua permohonan yang diluluskan itu telah melalui saringan JPPK Mitra atau jawatankuasa Mitra Jabatan Perdana Menteri, bergantung kepada nilai geran tersebut.

“Justeru, penerima geran pada hari ini adalah organisasi yang terpilih dalam menjayakan amanat dan hasrat pembangunan sosio ekonomi masyarakat India,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI