fbpx

Pemerintahan Al-Sultan Abdullah sebagai Agong tamat 30 Januari 2024

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Al-Sultan Abdullah bersama Tunku Azizah Aminah.

PETALING JAYA – Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah akan menamatkan pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Januari 2024, selepas bersemayam di atas takhta kerajaan Malaysia selama lima tahun, bermula 31 Januari 2019.

Menyingkap kembali lipatan sejarah negara, Al-Sultan Abdullah merupakan satu-satunya Yang di-Pertuan Agong yang diberi keafiatan untuk memerintah negara dengan empat Perdana Menteri bersama empat Jemaah Menteri berlainan.

Baginda bertitah, sepanjang bersemayam di atas takhta kerajaan Malaysia, pelbagai peristiwa dan badai gelora telah ditempuh, termasuk kemelut politik yang melanda tanah air.

“Begitu juga setelah negara menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), buat pertama kalinya dalam sejarah demokrasi Malaysia, negara berhadapan dengan situasi Parlimen tergantung.

“Dalam apa juga situasi, Paduka Adinda telah memberi ruang kepada Ahli-Ahli Dewan Rakyat untuk mencapai satu kesepakatan atas prinsip perpaduan demi masa hadapan negara.

“Akhirnya tugas melantik tiga Perdana Menteri dalam kalangan Ahli Dewan Rakyat telah Paduka Adinda sempurnakan selaras dengan kuasa budi bicara yang diberikan Perlembagaan Persekutuan,” titah baginda pada Perutusan Yang di-Pertuan Agong ke-16 dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-262 (Hari Kedua) hari ini.

Al-Sultan Abdullah bertitah, tempoh pemerintahan baginda turut diselubungi penularan pandemik Covid-19 yang memberi kesan kepada ekonomi negara dan kelangsungan hidup rakyat jelata.

“Sehingga proklamasi darurat terpaksa diisytiharkan dan negara terpakwa menempuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Namun demikian sama ada ketika berhadapan kemelut politik atau gelora pandemik Covid-19, dan sepanjang Paduka Adinda memerintah negara, Paduka Adinda sentiasa menjunjung sumpah yang telah dilafazkan.

“Iaitu untuk memerintah negara Malaysia yang kita cintai ini dengan secara adil menurut peruntukan Perlembagaan Persekutuan,” titah baginda. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI