Permainan ini dimainkan dengan misi untuk mengepung lawan. – SADDAM YUSOF

K2

Weiqi permainan strategi era maharaja China

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KETIKA di bangku sekolah menengah, lelaki itu tertarik dengan satu komik yang berkisar permainan papan strategi (catur) tradisional dikenali sebagai weiqi.

Menerusi komik Hikaru No Go itu, lelaki tersebut juga terus mencari set permainan tradisional itu dan kemudian belajar mendalaminya.
Lelaki yang dimaksudkan ialah Chow Ming Hun, 29, yang kini merupakan ketua jurulatih pasukan weiqi Kuala Lumpur dan Selangor.

Imbasnya, walaupun dia tahu tentang permainan weiqi pada ketika itu (tahun 2007), tidak ramai remaja seusianya kenal permainan tersebut.

“Awalnya, saya pelajari weiqi menerusi buku dan bermainnya sendiri secara dalam talian, namun disebabkan tidak ramai kawan tahu permainan ini, saya hanya menjadikannya sebagai hobi pada masa lapang.

“Bagaimanapun, semasa melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi, saya mendalami weiqi secara serius selepas melihat ada seorang rakan yang mempunyai minat sama di kampus selain mengetahui wujudnya persatuan serta akademi berkaitan permainan tersebut,” katanya ketika ditemu bual K2 di akademi pembelajaran dan latihan weiqi, Akademi N-World Go di Puchong, Selangor baru-baru ini.

Tambahnya, sejak dari itu, dia melibatkan diri dalam arena weiqi bukan sekadar hobi tetapi juga menjadi antara pemain profesional dan mewakili Malaysia dalam pertandingan antarabangsa termasuk Sukan Asia.

Kongsinya yang juga merupakan Setiausaha Persatuan Weiqi, Kuala Lumpur dan Selangor, bermain weiqi secara tidak langsung telah banyak mengajar dirinya dalam kehidupan kerana ia permainan yang menuntut pemain untuk membuat keputusan yang betul dalam setiap tindakan.

Weiqi merupakan satu permainan tradisional asal China yang telah wujud antara 3,000 hingga 4,000 tahun.

Mengikut sejarah, weiqi ditemukan oleh seorang maharaja dari zaman neolitik China, Yao sebagai medium untuk melatih anakandanya, Danzhu kemahiran strategi.

Dahulunya, orang awam menyebut weiqi dengan nama shoutan atau zouyin yang bermaksud ‘bercakap-cakap menggunakan tangan’.

Permainan ini turut dikenali dengan beberapa nama lain di beberapa negara lain seperti go di Eropah, baduk (Korea Selatan), igo (Jepun) dan goe (Taiwan).

Menurut Timbalan Presiden Persatuan Weiqi Malaysia, Jimmy Cheng, meskipun weiqi berasal dari China, permainan itu dipopularkan oleh Jepun ketika zaman penjajahannya.

“Permainan ini mula tersebar selepas Jepun membawa permainan ini ke negara mereka dan mendalami seni permainannya.

“Oleh kerana itu juga, pengaruh permainan weiqi tersebar luas hingga ke Korea Selatan, Taiwan dan juga Malaysia serta negara-negara Eropah,” ujarnya.

Kongsinya lagi, antara faktor permainan ini diminati adalah cara bermainnya yang tampak mudah tetapi kompleks selain menjadi salah satu antara empat seni yang perlu dikuasai dalam budaya China selain lukisan, muzik dan tulisan.

Terangnya, permainan weiqi berbeza dengan permainan catur lain kerana ia berkonsepkan mengepung lawan untuk mendapatkan mata.

Lebih banyak kepungan dilakukan, maka lebih banyak mata diperoleh.

Pemain menerima latihan bermain weiqi di akademi itu.

Weiqi dimainkan atas sebuah papan berukuran 19 x 19 (19 garis horizontal dan vertikal) berserta buah catur hitam serta putih yang semuanya mempunyai gerakan sama dengan diletakkan di atas silang bucu petak. Ia tidak seperti dam atau catur yang buahnya diletakkan di dalam kotak.

Dua pemain berlawan dalam permainan dengan misi untuk mengepung lawan.

Permainan di peringkat antarabangsa biasanya mengikut kaedah permainan Jepun yang melibatkan tempoh masa tertentu untuk membuat gerakan.

“Yang menjadikannya kompleks adalah apabila setiap biji buah catur mempunyai fungsi yang sama dan tiada strategi khusus untuk menang kecuali harus peka dengan gerakan lawan dan membaca apa tujuan mereka.

“Hal ini menjadikan setiap pemain perlu fokus dan membuat keputusan yang betul bagi mengelakkan biji yang diletakkan olehnya dikepung pihak lawan,” jelasnya.

Hurainya, oleh kerana weiqi berkisar strategi terbuka, setiap set permainan ini boleh berlangsung antara setengah jam di peringkat amatur hingga berhari-hari dalam kalangan pemain profesional.

Permainan akan berakhir apabila tiada lagi gerakan boleh dilakukan dan salah satu pihak telah menguasai papan permainan dengan buah catur mereka.

Di Malaysia, Jimmy memberitahu permainan ini aktif diperkenalkan sekitar tahun 90-an yang seterusnya membawa penubuhan Persatuan Weiqi Malaysia pada tahun 2003.

Kongsi Jimmy, pada awalnya weiqi di Malaysia merupakan permainan warga emas ketika bersantai, namun selepas mula diperkenalkan kepada golongan muda, permainan ini mendapat perhatian hingga mewujudkan komuniti, pertandingan serta legasi atlet weiqi.

“Pada peringkat awal, gerakan memperkenalkan weiqi bermula dengan pameran dan taklimat dari sekolah ke sekolah, seterusnya mewujudkan komuniti dan mengajar generasi muda tentang weiqi menerusi persatuan.

“Kewujudan persatuan weiqi turut berkembang, bermula di Kuala Lumpur dan Selangor kemudian di beberapa negeri seperti Pulau Pinang, Perak, Melaka serta Johor,” katanya.

Tambahnya, penglibatan pemain weiqi juga tidak sekadar di peringkat nasional, tetapi mereka turut belajar memahirkannya di negara luar seperti China dan Jepun serta menyertai pertandingan antarabangsa.

Menurut dua atlet weiqi Malaysia, Owen Lo Chen Yen, 18, dan Tan Hooi Yan, 31, penglibatan dalam permainan weiqi telah memberikan mereka peluang mengharumkan nama Malaysia.

Hooi Yan yang mula bermain weiqi sejak tujuh tahun lalu mengakui permainan tersebut bukanlah suatu yang mudah tetapi telah banyak mengubah hidupnya terutama dalam aspek membuat keputusan.

“Bermain weiqi menuntut fokus mendalam untuk setiap keputusan gerakan yang dibuat, begitu juga dalam kehidupan bahawa kita perlu membuat keputusan yang betul agar tidak merugikan diri,” katanya yang pernah meraih tempat lapan terbaik pada pertandingan Japan Pair Go di Jepun.

Bagi Owen pula, dia mempelajari weiqi sejak berusia lapan tahun dan melihat permainan weiqi memerlukan proses pembelajaran yang berterusan.

“Belajar weiqi tidak ada penghujung kerana setiap pihak lawan yang ditemui mempunyai strategi yang berbeza-beza.

“Dari situ kita belajar bagaimana untuk mengatasi mereka,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN