fbpx

Kerajaan dicadang selaraskan harga ayam dan telur – Johari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pembiayaan disediakan Agrobank membolehkan penternak ayam menambah produktiviti dan mengurangkan kos, seterusnya berupaya menawarkan harga lebih baik kepada pasaran. - Gambar hiasan

PETALING JAYA – Kerajaan boleh mengambil kaedah melaraskan semula harga siling runcit ayam dan telur mengikut kenaikan serta penurun harga pasaran komoditi dunia sekali gus mengatasi masalah bekalan tersebut di negara ini.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, cadangan tersebut adalah solusi jangka panjang sekiranya kerajaan berdepan lagi peningkatan harga komoditi dunia bagi makanan ayam.

Menurutnya, kerajaan tidak pernah membelanjakan sebarang subsidi kepada industri sebelum ini kerana Malaysia boleh mencapai kadar sara diri (self-sufficiency rate) yang mencukupi bagi ayam dan telur, manakala industri tidak pernah berdepan sebarang masalah.

“Ketika ini, kerajaan telah membelanjakan subsidi kepada penternak sebanyak RM3.8 bilion hanya untuk subsidi ayam dan telur, tetapi bekalan tetap berdepan dengan masalah.

“Satu ketika dahulu, pengeluaran ayam adalah sangat stabil iaitu lebih 100 peratus dan telur pula mencapai sebanyak 110 peratus sehingga industri ayam dan telur Malaysia berjaya mengeksport ke pasaran luar negara.

“Punca kepada masalah bekalan telur dan ayam di negara kita baru-baru ini adalah disebabkan kenaikan harga komoditi dunia yang mana sumber makanan ayam, komoditi jagung dan kacang soya yang diimport telah naik dengan berkali-kali ganda,” menerusi hantaran pada aplikasi X hari ini berhubung cadangan yang dibahaskan di Dewan Rakyat.

Johari berkata, apabila kerajaan melaraskan kenaikan harga siling runcit ayam dan telur mengikut harga pasaran, kerajaan juga perlu menjaga golongan B40 dan pertengahan M40 yang terjejas akibat pelarasan ini dengan memberikan subsidi tunai ayam dan telur melalui ‘cash transfer’ terus kepada mereka.

“Sudah tentu jumlah subsidi yang diberikan ini juga perlu mengikut penurunan dan kenaikan selaras dengan harga siling runcit yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya.

Johari berkata, terdapat beberapa impak kepada kaedah pelarasan harga siling runcit dengan mengikut kenaikan dan penurunan harga pasaran bebas komoditi dunia serta sokongan pemberian subsidi terus kepada golongan sasar.

Katanya, ia termasuk kestabilan kepada industri secara keseluruhan, syarikat boleh berjalan dengan baik dan tidak ditutup selain kerajaan boleh mendapatkan cukai hasil daripada keuntungan syarikat disebabkan perkembangan industri yang sihat.

“Seterusnya, pendapatan kerajaan boleh diagihkan dengan memperuntukan subsidi ayam dan telur terus kpd golongan B40 dan pertengahan M40 melalui ‘cash transfer’, negara memperoleh semula kadar 100 peratus ‘self-sufficient’ serta negara tidak perlu bergantung kepada bekalan import ayam dan telur.

“Dalam masa sama, negara dapat membangun serta mengukuhkan kedudukan ‘food security’ bagi industri ayam dan telur. Negara mampu mengeksport ke pasaran luar negara dan meyakinkan negara pengimport untuk membeli bekalan dari Malaysia,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI