fbpx

Insentif khas gagal tarik minat syarikat penerbangan ke LTAM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HAMEED mendedahkan sehingga kini belum ada syarikat penerbangan yang berminat untuk menyediakan perkhidmatan di LTAM.

MELAKA – Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) di Batu Berendam terus dipandang sepi selepas inisiatif insentif khas yang ditawarkan kerajaan negeri gagal menarik minat syarikat penerbangan komersial untuk membuka perkhidmatan di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, selepas lebih sebulan, pihaknya masih belum menerima sebarang maklum balas daripada syarikat terlibat.

Jelasnya, kedudukan LTAM yang disifatkan hampir dengan Lapangan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menjadi faktor utama lapangan itu tidak menjadi pilihan syarikat penerbangan.

“Sebelum ini kita sasarkan akan ada maklum balas sehingga hujung bulan ini, namun setakat ini satu (syarikat) pun tak ada hantar (respons) lagi terma-terma yang kerajaan negeri bagi.

“Di Melaka (lapangan terbang) kita ada masalah, lokasi kita terlalu dekat dengan KLIA, jadi pengguna pula ada banyak pilihan dan akhirnya mereka ke KLIA,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas program jelajah mesra sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024) di Banda Hilir di sini, hari ini.

Tambahnya, kini kerajaan negeri sedang mencari alternatif lain bagi memastikan LTAM itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

“Ada misi pelaburan berkaitan dengan LTAM sempena TMM 2024, jadi saya akan berbincang dengan Ketua Menteri Datuk Seri Rauf Ab. Rauf Yusoh berkenaan perkara itu.

“Setakat ini LTAM hanya digunakan oleh penerbangan sewa khas yang sekali-sekala turun di situ, masih beroperasi,” ujarnya.

Kosmo! pada 8 September lalu melaporkan satu-satunya syarikat penerbangan yang masih menawarkan perkhidmatan di LTAM, Wings Abadi Air mengambil keputusan untuk menghentikan operasinya di sini.

Hameed berkata, penamatan penerbangan dari Pekanbaru, Indonesia ke Melaka itu dibuat selepas syarikat tersebut mengalami kerugian ekoran permintaan yang terlalu rendah.

Ujarnya, kerajaan negeri bagaimanapun bersedia untuk berbincang mengenai insentif bantuan yang boleh diberikan kepada mana-mana syarikat penerbangan yang berminat untuk menyediakan perkhidmatan di LTAM. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI