fbpx

Mahkamah: Pengawal keselamatan tak mengaku bawa pisau ke Stadium Perak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azrul Faiz mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini.

IPOH – Seorang pengawal keselamatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memiliki sebilah pisau ketika perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia antara Perak FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Perak, Khamis lalu.

Tertuduh, Azrul Faiz Mohd. Rosli, 31, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Siti Nora Sharif.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki sebilah pisau di dalam beg pinggang berwarna hitam di Pintu Masuk B di Stadium Indera Mulia, Kompleks Sukan Ipoh pada pukul 8.45 malam, 19 Oktober 2023.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Bahaya 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aqilah Syaza Ariffin manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), M. Kathan.

Terdahulu, Nur Aqilah mencadangkan jaminan sebanyak RM6,000 kepada tertuduh namun Kathan memohon jumlah jaminan minimum atas alasan anak guamnya bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan gaji bulanan sebanyak RM1,800 selain perlu menanggung isteri dan tiga anak berusia setahun, empat tahun dan tujuh tahun.

Mahkamah membenarkan Azrul Faiz diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin dan tarikh sebutan ditetapkan pada 5 Disember depan.

Menerusi laporan media Jumaat lalu, tertuduh yang dikesan membawa sebilah pisau pendek itu diberkas semasa pemeriksaan keselamatan oleh pasukan polis di Pintu Masuk B di Stadium Perak.

Selain tertuduh, polis turut menangkap seorang lelaki berusia 25 tahun selepas menghalang tugas pasukan keselamatan dan mengeluarkan kata-kata kesat.

Penyokong bola sepak itu bagaimanapun dijatuhi hukuman denda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret pada Jumaat lalu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI