fbpx

Konflik Palestin-Israel: Hospital Gaza tiada kain tutup jenazah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang lelaki memeluk jenazah anaknya yang terkorban dalam serangan udara askar Israel di Hospital Syahid Al-Aqsa kelmarin. – AFP

BANDAR GAZA – Situasi di Hospital Syahid Al-Aqsa, tengah Gaza semakin meruncing apabila fasiliti tersebut kehabisan selimut dan kain untuk menutup jenazah penduduk Palestin yang terkorban.

Badan Penyiaran Britain (BBC) melaporkan,  mayat mereka yang terbunuh disusun di pekarangan hospital ketika saudara dan waris terdekat meratapi kematian orang tersayang.

Di dalam hospital pula, doktor-doktor dan jururawat bergelut merawat pesakit yang cedera dengan bekalan perubatan hampir tiada langsung.

Beberapa wartawan BBC Arabic berkata, mereka menyaksikan hospital itu dipenuhi jenazah dengan doktor-doktor keletihan kerana  melakukan pembedahan tanpa berhenti.

Serangan udara terbaharu Israel telah meragut lebih 100 nyawa dengan Rejim Zionis berkata, pihaknya menyasarkan kawasan berhampiran hospital berdasarkan risikan bahawa  pemimpin Hamas bersembunyi di sekitar lokasi tersebut.

“Mayat memenuhi pekarangan hospital, manakala jenazah yang disimpan di dalam peti sejuk turut penuh, di dalam bangunan dan di luar hospital,” kata seorang kakitangan.

Sementara itu, di Hospital Al-Quds di kawasan Tel al-Hawa, serangan bom  Israel mengenai bangunan berdekatan ketika pasukan terdiri daripada 23 doktor dan jururawat merawat lebih 500 pesakit.
“Ramai yang cedera telah menunggu selama beberapa hari untuk menjalani pembedahan.

“Kakitangan perubatan juga semakin berkurang kerana ada yang terbunuh selain ada yang tidak dapat sampai ke hospital. Kakitangan yang tinggal kini berkongsi bangunan dengan 1,200 orang yang berpindah dan berteduh di sana,” kata seorang doktor yang enggan dikenali.

Tambahnya, terdapat 120 orang dengan pelbagai kecederaan di kemudahan itu, 10 pesakit di unit rawatan rapi (ICU) yang menggunakan ventilator serta kira-kira 400 pesakit kronik.

“Terdapat kira-kira 1,200 penduduk yang berpindah ke sini. Bukan mudah untuk memindahkan sejumlah besar orang, jadi kami memutuskan untuk tidak berpindah,” ujarnya.

Beratus-ratus ribu penduduk utara Gaza berpindah ke bahagian selatan selepas diarahkan askar Israel, namun ribuan lagi kekal berada di rumah mereka. – AGENSI 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI