fbpx

JBG perlu tumpu khidmat mediasi untuk kes syariah – Azalina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azalina ketika sidang akhbar selepas melancarkan aplikasi eKlinik 6G Jabatan Bantuan Guaman (JBG) di Putrajaya, hari ini.

PUTRAJAYA – Jabatan Bantuan Guaman (JBG) diminta supaya lebih menumpukan kepada khidmat prosiding sulh (mediasi) bagi kes syariah dan tidak lagi menjurus kepada khidmat bantuan peguam panel.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, beliau juga mahu JBG lebih menumpukan kepada khidmat lantikan peguam panel bagi kes sivil dan jenayah.

Menurutnya, kes syariah perlu ditumpukan hanya kepada khidmat mediasi sahaja kerana ia dapat membantu kes berkenaan diselesaikan di luar mahkamah.

“Saya tak nak JBG sibuk dengan kes syariah sahaja dan sepatutnya mereka perlu memberi tumpuan juga kepada kes sivil dan jenayah.

“Kalau khidmat mediasi kepada kes syariah saya setuju. Sebab kes syariah ini kita nak cari jalan penyelesaian antara dua pihak. Malah, mediasi ini penting kerana kita kena ajar mereka berdamai,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan aplikasi eKlinik 6G Jabatan Bantuan Guaman (JBG) di sini hari ini.

Katanya, jika tidak cukup kakitangan bagi khidmat mediasi, JBG boleh melantik bekas-bekas hakim dan pegawai undang-undang yang sudah bersara.

Jelasnya lagi, kepakaran mereka ini banyak dan boleh dimanfaatkan untuk membantu jabatan pada masa hadapan.

Selain itu, Azalina berkata, beliau juga meminta JBG supaya bekerjasama dengan panel peguam swasta di peringkat negeri bagi lantikan peguam panel kes jenayah dan sivil.

Menurutnya, bagi tujuan itu, kerajaan bersedia membayar kepada mereka (peguam panel swasta) berdasarkan kelayakan dan jenis kes yang akan dikendalikan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI