BERDERAU darah wanita yang mahu dikenali sebagai Siti Aishah saat melihat anak kesayangannya berusia tiga tahun sedang terkapai-kapai di dalam kolam renang.
Dia langsung tidak menyedari anaknya telah terjun ke kolam renang dewasa saat dia mengunjungi rumah sepupunya di sebuah kondominium di Kuala Lumpur.
“Ketika itu, kami berada di kawasan kolam renang. Anak saya memang tidak suka dipegang tangannya serta ingin bebas berjalan.
“Saya tidak memberi perhatian penuh kepada anak saya hingga membuatkannya bermain di kawasan tepi kolam,” katanya kepada K2.
Namun, Siti Aishah amat bernasib baik apabila dia menyedari hal tersebut dan pantas terjun ke kolam renang untuk menyelamatkan anaknya.
Sejak kejadian itu, Siti Aishah lebih berhati-hati terutamanya ketika membawa anaknya ke kawasan yang mempunyai kolam renang.
Mutakhir ini, kebanyakan rumah kediaman dibina dengan dilengkapi kemudahan kolam renang bagi membolehkan penghuninya beriadah.
Namun begitu, kemudahan kolam renang juga memberi risiko tersendiri terutama buat kanak-kanak.
Golongan tersebut terdedah kepada kejadian lemas jika dibiarkan menggunakan kemudahan kolam renang tanpa pemantauan orang dewasa.

Malah pada Ogos lalu, Kosmo! melaporkan, seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun maut setelah lemas dalam kolam renang rekreasi di sebuah inap desa di Sabak Bernam, Selangor.
Bapa mangsa hanya menyedari kejadian itu selepas terdengar jeritan salah seorang anaknya yang melihat mangsa tidak sedarkan diri dalam kolam tersebut.
Melihat anaknya tenggelam dalam kolam itu, bapa mangsa mengeluarkan mangsa dan memberi bantuan pernafasan tetapi tidak berhasil.
Mangsa dibawa ke klinik kesihatan berdekatan bagi tindakan lanjut sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.
Sementara itu, menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), pihaknya menerima sejumlah 1,595 panggilan kecemasan bagi kes lemas untuk tempoh lima tahun dari 2018 hingga 2022.
Daripada jumlah itu, sebanyak 1,341 panggilan kecemasan adalah kes lemas yang menyebabkan kematian.
Secara purata dalam setahun, JBPM merekodkan sebanyak 268 kes lemas.
Dalam usaha mengurangkan kes lemas, pengetahuan tentang keselamatan air amat penting untuk dititikberatkan terutamanya dalam kalangan kanak-kanak.
Menyedari hal itu, Akademi Renang Lizz Aquatic dan Red Rescue telah bekerjasama melaksanakan program Poolside Superheroes: Lifesaving Training for Kids di Petaling Jaya, Selangor.
Program berkenaan disertai seramai 16 kanak-kanak berusia lapan hingga 15 tahun.

Mereka diberi pendedahan tentang pengetahuan menyelamatkan nyawa dan keselamatan di dalam air.
Pengasas Akademi Renang Lizz Aquatic, Roseliza Tamam berkata, adalah penting untuk menekankan aspek keselamatan di air dan asas menyelamat untuk kanak-kanak.
Menurutnya, golongan itu sebenarnya tidak mengetahui bahawa kawasan seperti kolam, sungai dan tasik mempunyai bahayanya yang tersendiri.
“Oleh itu, aspek keselamatan dan bahaya air serta asas menyelamat harus diterapkan pada awal usia kanak-kanak.
“Ini penting bagi membolehkan kadar kematian akibat lemas dapat dikurangkan pada masa hadapan,” jelasnya.
Dalam program itu, kanak-kanak didedahkan tentang cara untuk menyelamatkan orang yang sedang lemas di air.
Selain itu, mereka diajar cara untuk mengenal pasti sama ada seseorang itu dalam keadaan lemas atau tidak.
Mereka juga diajar kaedah menyelamatkan orang yang lemas dengan menggunakan peralatan yang betul seperti penggunaan tali, pelampung dan lain-lain lagi.
Kanak-kanak itu juga dipertontonkan dengan satu video tentang kejadian lemas yang boleh berlaku di kolam renang, meskipun di situ dipenuhi dengan orang ramai.
“Misalnya, kolam di kawasan perumahan tidak ada individu yang bertugas sebagai ‘lifeguard’.
“Ada ketikanya, kanak-kanak ini dibiarkan mandi tanpa pengawasan ibu bapa dan ini boleh menjadi penyebab berlakunya kejadian lemas.
“Kadang-kadang kita nampak orang seperti mengangkat tangan di dalam kolam, tetapi kita tidak tahu sama ada mereka betul-betul lemas atau sekadar bermain-main.
“Di dalam program ini kita dedahkan tentang pengetahuan untuk mengenal pasti sama ada seseorang itu sedang lemas atau tidak,” terang Roseliza.
Tambahnya, mereka juga mendedahkan kepada kanak-kanak tentang tindakan pantas yang boleh dilakukan untuk menyelamatkan seseorang yang sedang lemas.
Pada masa sama, aspek bantuan pernafasan (CPR) juga diterapkan kerana boleh menjadi penyelamat kepada mereka yang lemas.
Malah, amat digalakkan untuk setiap keluarga ada seseorang yang mengetahui cara untuk memberi bantuan CPR.
Dalam pada itu, Roseliza berkata, kursus menyelamat dibahagikan beberapa bahagian dan seseorang itu perlu mengikuti latihan intensif terlebih dahulu.
“Untuk kanak-kanak ini, kita melakukan kursus jangka pendek dalam tempoh satu atau dua hari.
“Kita akan bagi latihan yang sesuai untuk kanak-kanak mengikut peringkat umur,” terangnya.
Tambahnya, ibu bapa juga perlu didedahkan perkara sama bagi membolehkan mereka memberi pengetahuan itu kepada anak-anak.
Mengulas lanjut, Roseliza berkata, setiap keluarga yang tinggal di kawasan perumahan dilengkapi kolam renang dinasihati untuk lebih peka.
“Ada rumah-rumah kondominium yang lama mempunyai kolam dengan kedalaman melebihi 1.5 meter. Ia amat berbahaya kepada kanak-kanak.
“Sebenarnya, kedalaman kolam yang asas untuk kawasan perumahan adalah 1.2 meter sahaja.
“Kanak-kanak tidak mengetahui akan kedalaman kolam dan kadangkala akan terjun begitu sahaja.
“Jadi, kejadian lemas ini boleh berlaku jika tidak ada orang dewasa mengawasinya,” terangnya.
Dalam pada itu, Roseliza menjelaskan, meskipun seseorang itu boleh berenang, namun mereka juga berhadapan kemungkinan untuk lemas.
“Jika di kolam renang mungkin tiada masalah kerana airnya yang tenang dan mungkin ada orang ramai di sekeliling.
“Namun di kawasan sungai, air terjun dan laut, ia mempunyai arus dan tekanan yang boleh memberi risiko untuk lemas,” jelasnya.
Jadi, amat penting untuk diberi pendedahan tentang keselamatan di air pada orang ramai pada setiap peringkat umur.
Ia bagi membolehkan kejadian lemas dapat dielakkan.














