fbpx

Bebas tuduhan merogol, seks luar tabii terhadap budak empat tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Zairil dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan merogol dan melakukan persetubuhan luar tabii ke atas seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun, pada 2019.

SEREMBAN – Seorang pekerja Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol dan melakukan persetubuhan luar tabii ke atas seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun, pada 2019.

Hakim Datin Surita Budin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, Mohd. Zairil Mohd. Zin, 50, di akhir kes pendakwaan.

“Setelah mendengar keterangan kesemua saksi-saksi pendakwaan, membaca penghujahan bertulis kedua-dua pihak dan setelah mahkamah menilai keseluruhan kes pendakwaan dengan penilaian maksima, maka mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan satu kes prima facie keatas kedua-dua pertuduhan.

“Maka tertuduh dilepaskan dan dibebaskan daripada kedua-dua pertuduhan tanpa dipanggil untuk membela diri,” katanya pada prosiding keputusan kes di sini hari ini.

Terdahulu, seramai 14 orang saksi telah memberi keterangan di mahkamah sepanjang perbicaraan kes tersebut.

Pihak pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Goh Hsiao Tung manakala tertuduh diwakili peguam, Haresh Mahadevan dan Ramzani Idris.

Pada 5 April 2019, Mohd. Zairil mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan mencabul dan merogol kanak-kanak perempuan di hadapan Hakim, Madihah Harullah di Mahkamah Sesyen di sini.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol kanak-kanak perempuan berusia empat tahun di dalam bilik sebuah rumah di Titi, Jelebu pada 21 hingga 22 Mac 2019.

Oleh yang demikian, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 30 tahun dan sebat, jika disabitkan kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabi’i terhadap mangsa di lokasi dan tarikh yang sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Sementara, Haresh berkata, keputusan mahkamah itu memberi suatu kelegaan kepada anak guamnya serta dapat membersihkan namanya selepas hampir empat tahun kes berlangsung.

Sebelum ini, media melaporkan pada Mac 2019 seorang lelaki didakwa melakukan perbuatan terkutuk dengan mencabul kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang diasuh isterinya.

Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintendan Kamarul Rizal Jenal ketika itu dilaporkan berkata, lelaki berusia 40-an itu dipercayai melakukan perbuatan berkenaan ketika isterinya tiada di rumah di Kuala Klawang pada 23 Mac 2019. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI