VERSATIL. Itu istilah tepat untuk menggambarkan kerjaya seni Pekin Ibrahim yang tidak pernah gagal, malah cemerlang sebagai pelakon mahupun pengarah.
Sebagai aktor, keupayaan anak jati Kelantan itu menggalas pelbagai watak tidak dapat disangkalkan lagi dan dibuktikan apabila memenangi anugerah Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-28 (FFM28).
Dari sisi pengarahan pula, liang-liuk alur cerita dan garapan idea pemilik nama penuh Mohd. Iznan Ibrahim itu dapat dilihat menerusi naskhah Mat Moto yang juga pemenang anugerah Cerita Asal Terbaik di festival sama.
Gemerlapan karier seninya tidak pernah malap, malah sentiasa menyinari industri tanah air dengan pelbagai naskhah berkualiti seiring mutu lakonan yang tinggi.
Terkenal dengan peribadi yang lantang dalam menyuarakan apa terbuku di hati, Pekin mengakui dirinya dahulu panas baran selain sukar untuk menerima kritikan.
Bagaimanapun, hati keras dirinya berjaya dilembutkan seorang wanita yang berjaya menemui kunci untuk menenangkan hati agar tidak berterusan dirundung kebengisan.
Tenang selepas berkahwin
Ujar Pekin, berlaku perubahan ketara sebaik dia sah bergelar suami kepada pelakon Mona Allen, malah mula merasakan hidupnya lebih teratur selepas didampingi isteri tersayang.
“Perubahan paling ketara selepas berumah tangga adalah hidup lebih tenang dan santai. Boleh dikatakan kehadiran isteri, Mona Allen memberi seribu satu makna dalam kehidupan saya.
“Saya lebih fokus, fikiran juga makin matang, jika dahulu saya buat kerja hanya fikir diri saya, sekarang kena fikir isteri dan anak.

“Apa yang boleh saya katakan, mempunyai isteri dan permata hati sememangnya memberi impak kepada transisi kehidupan seorang lelaki,” ujarnya serius.
Berpegang teguh pada prinsip yang lama terpasak dalam diri, pelakon filem Bunohan itu mengakui dirinya kini lebih terbuka dan menganggap segala kritikan sebagai motivasi memperbaiki diri.
“Saya memang terkenal dengan sifat tegas dan bukan seorang yang romantik bahkan isteri pun mengakui perkara tersebut.
“Saya akui saya memang jenis degil, keras kepala, namun pada masa sama saya terbuka dan tidak mudah melenting.
“Dulu saya memang lantang, saya yakin kebanyakan wartawan juga sedar tentang bisa mulut saya. Namun, masa berubah, saya mula sedar bahawa kritikan dan persoalan orang ramai itu ada sebabnya,” tuturnya panjang lebar.
Berkongsi tentang kelahiran putera sulungnya, Petra Pekin selepas empat tahun penantian, pelakon berusia 42 tahun itu memberitahu, dia mengambil cuti panjang demi meluangkan masa bersama keluarga kecilnya itu.
“Bila sudah bergelar bapa, tanggungjawab sangat besar, jujurnya saya ambil cuti panjang daripada berlakon dan mengarah pada awal kelahiran putera saya.
“Saya tunggu lama untuk mendapatkan zuriat, jadi saya mahu lihat anak saya membesar depan mata selama setahun.
“Bila ada anak, perasaan itu jadi lain. Kalau boleh saya nak anak saya ada depan mata saya, nak berikan kasih sayang semaksimum mungkin, syukur Tuhan kurniakan rezeki ini,” katanya sambil mengukir senyuman.
Enggan terlalu larut dalam perihal isteri dan anak, penulis sempat bertanya Pekin perihal kerjaya seni dan pendapatnya mengenai segelintir netizen yang melabelkannya sebagai antara pelakon yang terlalu metode.
Hanya ikhlas jayakan watak
Termasuk dirinya, aktor berambut panjang itu menegaskan, bahawa setiap pelakon mempunyai fasa tersendiri dalam karier seni, namun perlu wujud keseimbangan antara seni berat dan pengkomersialan.
“Pendapat saya, semua pelakon akan melalui fasa, macam saya dahulu bergerak seorang diri, sangat independen. Jadi saya lebih fikirkan seni yang mendalam berbanding komersial.
“Tapi lama-kelamaan apabila sudah mula terlibat dengan bisnes dan dunia pengarahan, pastinya perlu ada keseimbangan antara seni dan boleh jual atau tidak, semua itu kena fikir.

“Dalam keadaan tersebut, saya perlu buang ego sebagai pelakon metode atau terlalu teknikal. Memang kena buang sebab kita mahu semua orang menerima kita. Lakonan bagus atau tidak, itu adalah fasa buat seorang pelakon,” katanya.
Dalam pada itu, bapa kepada seorang anak itu juga menegaskan, bahawa perlu ada keikhlasan dalam setiap lakonan agar watak digalas hidup secara semula jadi tanpa perlu terlalu mencuba.
“Tidak kiralah pelakon itu metode atau tidak, paling utama adalah perlu terbit rasa ikhlas dalam menjayakan sesuatu watak. Semuanya harus seimbang baik dari segi teknikal mahupun emosi lakonan.
“Tak guna terlalu metode tetapi penyampaian watak tak sampai, dunia lakonan tidaklah terlalu kompleks tetapi tidak juga mudah. Kena betul-betul faham karakter dan jayakan dengan cara tersendiri, kena ikhlas,” tegasnya.
Tidak berkira
Biar telah menggenggam trofi, Pekin juga mengakui pengiktirafan diraih masih menjadikannya aktor yang dulu, tidak berkira selain sedia menyahut tawaran terutama daripada rakan seperjuangan.
Biar bayaran antara perkara penting untuk dipertimbangkan sebelum menerima tawaran, katanya dalam sesetengah situasi ada perkara perlu ditolak ke tepi buat seketika.
“Macam untuk filem Cerana Biduk Bu Merah arahan Haizul Anafer Ali, saya tahu bayaran kecil berikutan kekangan bajet, namun apabila sutradara itu minta tolong, saya tak fikir panjang.
“Saya enggan berkira dengan orang yang banyak jasa kepada saya. Dia adalah pengarah kedua terawal saya bekerjasama ketika masuk dalam industri sekitar awal 2002 selepas Silver Chung.
“Mungkin dengan cara ini saya membalas budi baiknya kepada saya selama ini,” katanya mengenai filem yang mula ditayangkan 12 Oktober lalu itu.
















