fbpx

Ubah sisa makanan jadi protein serangga, baja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BAJA organik yang dihasilkan daripada proses EMBC boleh digunakan untuk menyokong pertanian bandar.

KRISIS sisa makanan merupakan antara isu yang kurang mendapat perhatian meskipun sebenarnya semakin meruncing terutama di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur.

Tanpa amalan pengurusan sisa yang efektif, sisa makanan berlebihan boleh mengundang ancaman kepada pencemaran alam sekitar.

Berfokus kepada isu pengurusan sisa makanan di Kuala Lumpur, syarikat bioteknologi, Entomal BioTech mengetengahkan inovasi Sistem Penukaran Bio Mudah Alih Entomal (EMBC).

Menurut Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Komersial Entomal BioTech, Yanni Ching, EMBC adalah penyelesaian inovatif yang terkandung dalam bekas (kontena) perkapalan sepanjang 6 meter.

“Kontena ini boleh ditempatkan secara strategik berhampiran dengan sumber penjanaan sisa seperti kediaman, medan selera, restoran.

“Ia dapat merawat 500 hingga 1,000 kilogram sisa makanan pada setiap bulan.

“EMBC menggunakan kebolehan luar biasa lalat askar hitam untuk menukar sisa makanan kepada sumber berharga seperti protein serangga dan baja organik,” katanya ketika dihubungi Infiniti baru-baru ini.

Tambahnya, sistem itu juga direka bagi meningkatkan kesedaran tentang amalan pengurusan sisa yang bertanggungjawab, selain meningkatkan matlamat kemampanan Kuala Lumpur.

Ujarnya, ia juga membantu mengurangkan kesan karbon daripada setiap tan sisa di tapak pelupusan yang menjana 2.5 tan pelepasan karbon.

Hal ini kerana pembuangan sisa makanan yang tidak betul membawa kepada pelepasan gas rumah hijau.

KONTENA perkapalan akan diletakkan berhampiran sumber penjanaan sisa makanan seperti kediaman, medan selera dan restoran.

Berkongsi tentang kitaran proses EMBC, Yanni memberitahu, pertama sekali sisa makanan akan dikumpul dan dirawat terlebih dahulu dalam tong dram sebelum proses biokonversi.

“Kemudian, sisa yang dirawat dikisar halus dan diletakkan kepada larva lalat askar hitam, sebelum dibiarkan selama tujuh hari.

“Dalam tempoh itu, larva akan melakukan tugasnya iaitu mengubah sisa makanan menjadi dua sumber berharga iaitu protein serangga yang kaya dengan nutrien dan baja organik.

“Kedua-dua sumber ini boleh diasingkan, seterusnya diberikan kepada penerima yang berbeza seperti kedai haiwan peliharaan, penternak atau petani bandar,” jelasnya.

Katanya, protein serangga menawarkan sumber makanan yang sangat baik untuk haiwan peliharaan dan ternakan.

Jelasnya lagi, baja organik pula boleh digunakan untuk meningkatkan estetika landskap bandar dan menyokong inisiatif pertanian bandar.

EMBC juga berpotensi dalam mengubah Kuala Lumpur menjadi bandar lebih hijau dan mampan.

Pada masa sama, ia boleh memperkasakan komuniti untuk mengambil langkah proaktif ke arah pengurusan sisa makanan cekap.

Berkongsi pandangan tentang pengurusan sisa makanan semasa, infrastruktur sedia ada di Kuala Lumpur pada masa ini bergelut dengan peningkatan penjanaan sisa makanan.

Hal ini dipercayai berpunca daripada aktiviti pembandaran dan perubahan corak penggunaan.

“Sistem pengurusan sisa konvensional pada masa ini dilihat gagal memanfaatkan potensi nilai sisa makanan.

“Nutrien dan sumber yang berharga akan hilang apabila sisa makanan berakhir di tapak pelupusan sampah.

“Ramai tidak menyedari kesan terhadap alam sekitar akibat pembuangan sisa tidak betul.

“Kekurangan pendidikan menghalang usaha untuk melaksanakan amalan pengurangan dan kitar semula berkesan,” ujarnya.

Tambahnya, EMBC bukan sahaja menggalakkan pengurusan sisa bertanggungjawab, tetapi juga memupuk budaya penjagaan alam sekitar dalam kalangan masyarakat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI