fbpx

Mahkamah: Pendakwaan beri bayangan kes seleweng dana 1MDB hampir sampai penghujung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Najib dikawal pihak penjara ketika hadir di Mahkamah Tinggi hari ini. Foto oleh SHIDIQQIN ZON/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Pihak pendakwaan dalam kes penyelewengan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi Datuk Seri Najib Tun Razak memberikan bayangan bahawa perbicaraan kes itu sudah hampir sampai ke penghujungnya di Mahkamah Tinggi di sini.

Semasa prosiding hari ini, bayangan tersebut dinyatakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib apabila menyatakan pihaknya akan memanggil saksi terakhir mereka iaitu Pegawai Penyiasat daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Superintendan Kanan Nur Aida Arifin.

“Saksi seterusnya ialah Nur Aida tetapi kami tidak boleh memanggilnya lagi kerana masih terdapat dokumen yang perlu diterima masuk sebelum saksi ini memberi keterangan. Selepas itu, kami sudah boleh menutup kes kami,” kata Ahmad Akram.

Bagaimanapun Ahmad Akram turut menyatakan penutupan kes di akhir kes pendakwaan itu juga bergantung kepada sesi soal balas pembelaan.

Pendakwaan memaklumkan demikian selepas Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah meminta pihak mereka membawa saksi baharu selepas pihak pembelaan tidak bersedia untuk menyoal balas saksi pendakwaan ke-48, Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), Asisten Komisioner Foo Wei Min.

Ini kerana peguam bela utama, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah tidak hadir hari ini. Pada prosiding hari ini, pembelaan diwakili peguam-peguam bela, Alaistair Brandah Norman dan Wan Mohammad Arfan Wan Othman

Setakat ini, pihak pembelaan masih belum menghabiskan menyoal balas lima orang saksi.

Lima saksi itu ialah saksi pendakwaan kesembilan (SP9), bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi; bekas Ketua Pegawai Kewangan 1MDB Azmi Tahir(SP12); bekas Pengarah Bukan Eksekutif AmBank, Cheah Tek Kuang (SP39); bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz (SP46) dan penganalisis BNM, Adam Ariff Mohd. Roslan (SP47).

Mengikut pertuduhan Najib, 70, berdepan empat tuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Terdahulu, pihak pembelaan membantah beberapa dokumen diterima masuk sebagai bukti dan akan berhujah mengenainya pada prosiding minggu hadapan.

Pembelaan juga memberikan `jaminan’ akan meneruskan prosiding dengan soal balas sekiranya mahkamah tidak membuat keputusan serta merta pada tarikh akan datang.

Justeru tarikh 24 Oktober ini ditetapkan bagi perbicaraan kes seterusnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI