fbpx

Lelaki Sarawak mengaku tak bersalah miliki bom buatan sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh (baju belang) ketika dibawa ke Mahkamah Butterworth, pagi tadi.- Foto oleh IQBAL HAMDAN/KOSMO!

SEBERANG PERAI – Seorang pekerja kilang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Butterworth di sini, hari ini atas pertuduhan memiliki bahan letupan sendiri dan pistol tiruan, awal Oktober lalu.

Bonny Anak Tigong, 32, membuat pengakuan itu ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Siti Zulaikha Nordin.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang juga berasal dari Sarawak didakwa telah memiliki sejenis bahan letupan iaitu ‘improvised explosive device’ atau IED tanpa kebenaran yang sah.

Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa kerana mempunyai sepucuk pistol tiruan atau pistol ‘grib’ jenis kayu juga tanpa kebenaran yang sah.

Kedua-dua kesalahan dilakukan di lokasi yang sama iaitu di bawah flat Taman Pandan, Mak Mandin dalam daerah Seberang Perai Utara (SPU) pada 8 Oktober lalu iaitu antara pukul 6.30 petang hingga 7.35 malam.

Untuk kesalahan pertama, tertuduh boleh didakwa di bawah Seksyen 8, Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara selama tujuh atau atau dikenakan denda sebanyak RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan kedua pula, dia boleh dihukum di bawah Seksyen 36 Akta Senjata 1960 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi satu tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Asma’ ‘Amira Shahidani manakala tertuduh pula diwakili oleh peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Majistret Siti Zulaikha kemudian membenarkan tertuduh untuk diikat jamin sebanyak RM5,000 untuk pertuduhan pertama dan RM3,000 bagi pertuduhan kedua; masing-masing dengan kehadiran seorang penjamin.

Kes dijangka disebut semula pada 16 November depan sementara menunggu proses penyerahan dokumen-dokumen yang berkaitan kepada mahkamah.

Terdahulu, tertuduh turut dibicarakan di Mahkamah Sesyen kerana didakwa memiliki satu senjata berjadual iaitu sebilah kerambit beserta sarung berwarna hitam/perak berukuran 19 sentimeter (cm) tanpa tujuan yang sah.

Kesalahan itu juga dilakukannya di bawah flat Taman Pandan, Mak Mandin dalam daerah SPU pada 8 Oktober lalu kira-kira pukul 6.30 petang. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI