PETALING JAYA – Terdapat remaja perempuan termasuk pelajar sekolah berusia seawal 14 tahun sanggup menjual gambar atau video seksi pada harga serendah RM4.90 secara bersiri
melalui TikTok.
Mereka yang memakai seragam sekolah itu melakukan pelbagai aksi mengghairahkan seperti
menyelak kain, menayang payudara dan pinggul bagi menarik minat pengguna TikTok untuk membeli konten itu.
Seorang gadis yang mahu dikenali sebagai Ain, 16, mengakui telah menjual 15 gambar seksinya ketika memakai seragam sekolah.
Dia yang berjaya dihubungi melalui Direct Message (DM) berkata, kebanyakan gambar yang dijual tidak menampakkan wajahnya.
“Saya hanya memperlihatkan aset tubuh badan seperti pipi, payudara dan pinggul serta pakaian harus ketat untuk tampilkan imej seksi,” katanya.
Sementara itu, Kosmo! Ahad yang giat memantau aktiviti pengguna TikTok terkejut apabila menjumpai satu akaun yang mana bahan terbitannya penuh dengan gambar dan video remaja berpakaian seksi.
Dalam satu siasatan yang dijalankan, akaun itu didapati mula aktif pada 17 Mei 2023 dan setiap hari akan ada video serta gambar baharu yang dimuat naik untuk tontonan pengikutnya.
Bahan-bahan itu diperoleh daripada beberapa sumber yang terlibat dalam kalangan remaja sekolah yang secara suka rela menjual gambar dan video mereka kepada akaun terbabit.
Namun, ada juga bahan hasil curian daripada konten akaun pengguna media sosial lain.
Setakat kelmarin, terdapat 276 gambar dan video yang selesai dimuat naik dalam tempoh hampir lima bulan dengan jumlah tontonan setiap satu sekitar 60,000 sehingga 2.7 juta.
Dengan memiliki pengikut hampir 200,000 orang serta 2.3 juta tanda suka, akaun ini turut menawarkan jualan secara siri dengan harga serendah RM4.90 untuk setiap pembelian.

Hasil pemantauan Kosmo! Ahad, terdapat lapan siri yang tersedia dan setiap siri mempunyai dua hingga tujuh kandungan berbeza meliputi komplikasi beberapa gambar, video serta tarian lucah.
Lebih mengejutkan, rata-rata penjualan siri melibatkan remaja sekolah yang lengkap memakai seragam sekolah sama ada baju kurung atau pakaian sukan.
Kosmo! Ahad turut menyamar dengan membuat pembelian empat daripada lapan siri tersebut untuk melihat sejauh mana isi kandungan yang disediakan.
Antaranya, terdapat video berdurasi satu hingga empat minit yang memaparkan remaja sekolah sedang bergelek sambil menunjukkan aset diri seperti payudara dan pinggul.
Meskipun lengkap berbaju sekolah, namun kebanyakan daripada mereka akan menyelak tudung bagi menampakkan payudara serta melipatkan baju untuk memperlihatkan pinggul sewaktu leka menari beberapa bentuk tarian moden.
Selain itu, ada yang menyediakan gambar-gambar seksi seperti sedang tidur dengan kain sekolah terselak, duduk secara menonggek di kerusi atau di atas meja kelas serta beberapa aksi lain yang kurang sopan.
Bagi mereka yang ingin melanggan siri itu secara ‘one-off’, tiada limit langganan serta bayaran pembelian boleh dibuat menerusi pelbagai kaedah termasuk kad kredit atau debit.
Semakan pada ruangan komen pula, bahagian tersebut juga dimatikan dan pembeli hanya boleh menonton dan kemudian memberi penilaian dari satu hingga lima bintang.
Rata-rata video dan gambar yang dijual mendapat tiga hingga lima bintang daripada pembeli.
Pembeli siri juga berpeluang untuk mendekati golongan remaja yang terlibat dalam siri apabila ID akaun TikTok mereka turut tersedia.
















