fbpx

Konflik Palestin-Israel: Israel mulakan pencerobohan Semenanjung Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tentera Israel menempatkan kereta kebal di sempadan Semenanjuang Gaza kelmarin. - Foto AFP

TEL AVIV – Tentera darat dan kereta kebal Israel melancarkan beberapa ‘serbuan bersasar’ di Semenanjung Gaza dan antara misinya ialah mencari tebusan Yahudi yang ditahan oleh pergerakan Hamas, lapor akhbar Guardian semalam.

Pencerobohan itu merupakan petunjuk utama perubahan strategi daripada serangan udara kepada pencerobohan darat oleh tentera Israel. Ia dilakukan selepas Rejim Zionis memutuskan bekalan elektrik, minyak, air dan elektrik ke Gaza.

“Israel telah melancarkan beberapa serangan bersasar dalam tempoh 24 jam lalu”, kata ketua jurucakap tenteranya.

“Dalam siri serbuan ini, unit infantri dan kereta kebal tentera Israel turut mengambil bahagian”, tambah jurucakap tentera Israel, Laksamana Muda Daniel Hagari dalam satu taklimat yang disiarkan televisyen Israel.

Sekurang-kurangnya 120 tebusan masih ditawan di Gaza, kata pihak tentera.

Sebelum ini, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berikrar untuk memusnahkan Hamas dan berkata, sejumlah serangan balas yang dilancarkan Israel ke atas Gaza hanyalah sebagai permulaan.

Serangan balas itu dilakukan selepas pejuang Hamas melancarkan lebih 5,000 roket ke arah Israel pada Sabtu minggu lalu sebagai membalas siri serbuan Rejim Zionis ke atas Masjid Al-Aqsa di Baitulmuqaddis sejak kebe­langkangan ini.

Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, lebih 1,800 orang terkorban di Semenanjung Gaza manakala lebih 1,200 penduduk Israel terbunuh dalam serangan kedua-dua belah pihak setakat ini.

Dalam pada itu, mayat-mayat penduduk Israel telah diambil oleh askar-askar Rejim Zionis selepas tenteranya memasuki Semenanjung Gaza, demikian menurut laporan oleh akhbar Haaretz.

Akhbar berkenaan melaporkan bahawa keluarga penduduk Israel yang terbunuh dan hilang sejak serangan Hamas pada Sabtu minggu lalu telah dimaklumkan berhubung penemuan tersebut.

Laporan itu memetik Hagari sebagai berkata, tentera juga menjumpai barang-barang yang mungkin membawa kepada pe­ne­muan lebih ramai penduduk Israel yang hilang.

Semasa serbuan tersebut, tentera Israel turut memusnahkan infrastruktur milik Hamas termasuk unit pejuang Palestin itu yang melancarkan bedilan peluru berpandu antikereta kebal ke arah Israel.

Kira-kira 1.1 juta penduduk Palestin di utara Gaza juga telah dimaklumkan oleh tentera Israel supaya berpindah kerana pihaknya akan melancarkan serangan darat tetapi Hamas menggesa penduduk tempatan supaya jangan berundur dan menentang perintah tentera Rejim Zionis.

Sementara itu, Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) percaya bahawa berpuluh-puluh ribu orang di Gaza telah berpindah ke selatan berikutan amaran pemindahan oleh Israel.

Sebelum perintah peminda­han itu dikeluarkan, lebih 400,000 penduduk Palestin telah hilang tempat tinggal, kata OCHA.

Dalam pada itu, menurut Perbadanan Penyiaran Britain (BBC), sayap bersenjata Hamas iaitu Briged Izzedine al-Qassam bersedia untuk menghadapi se­rangan darat Israel.

Peranti letupan telah ditetapkan dan serangan hendap telah dirancang dan mereka boleh menggunakan rangkaian tero­wong yang luas untuk menye­rang tentera Israel.

Ibu mertua kepada Menteri Per­tama Scotland, Humza Yousaf berkata menerusi video dari Ga­za bahawa penduduk Palestin tidak tahu ke mana arah yang hendak dituju mereka setelah meninggalkan Gaza.

“Sejuta orang tiada makanan tiada air dan mereka (tentera Is­rael) masih mengebom keti­ka penduduk berpindah. Di manakah kita akan menempatkan mereka?.

“Ini akan menjadi video terakhir saya. Semua orang dari Gaza bergerak ke arah tempat kita berada,” tambahnya yang melawat saudara-mara di Gaza. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI