fbpx

Tak sempat tuai, padi dilanda ribut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mansuri melihat padi yang musnah dilanda ribut di Sawah Sempadan. Foto SADDAM YUSOFF

KUALA SELANGOR – Nasib pesawah di Sawah Sempadan, di sini, terus dirundung malang apabila padi yang ingin dituai rosak dilanda ribut, baru-baru ini.

Kejadian dikatakan berlaku kira-kira pukul 8.40 malam, Isnin lalu, mengakibatkan kerugian kepada lebih 200 pesawah dengan keluasan padi dianggarkan 300 hektar.

Sebelum ini, para pesawah di lokasi berkenaan berdepan harga padi yang tidak stabil dan dianaktirikan berbanding lokasi lain seperti Sungai Burong dan Sekinchan.

Seorang pesawah, Mansuri Dugar,61, berkata, dia langsung tidak menyangka musibah melanda dirinya dengan satu daripada tiga tapak padinya musnah keseluruhan.

Katanya, yang menyedihkan adalah dia tidak sempat menuai hasil padi yang telah masak itu di mana satu tapak atau lot kawasan padi itu berkeluasan 1.2 hektar

“Sepatutnya minggu lalu hendak tuai hasilnya namun hujan jadi terpaksa ditangguhkan.

“Memang terkejut dan sedih lihat keadaan satu tapak yang hancur semuanya. Dua lagi tapak rosak dalam 30 peratus,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini hari ini.

Dia yang telah 20 tahun berkecimpung dalam bidang pertanian itu memaklumkan reda dengan ujian Allah namun pada masa mengharapkan bantuan daripada pihak kerajaan.

“Nampak gayanya, hasil menuai padi kali ini susut teruk ditambah harga padi yang tidak menentu menambahkan kesannya,” ujarnya.

Bagi Kamim Basiron, 60, kebiasaannya apabila musim menuai mampu mendapatkan sehingga 8 tan bagi satu tapak.

“Dua lot tapak saya terjejas dan saya rasa kali ini hanya dapat kira-kira lima tan sahaja dapat diselamatkan. Penantian yang tidak berbaloi bagi musim menuai kali ini,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Tanjong Karang, Datuk Sulaiman Abdul Razak berkata, sudah masanya kerajaan menyediakan atau mewujudkan tabung khas bencana kepada pesawah agar golongan tersebut tidak terus dirasakan terpinggir.

Katanya, mereka kini tertekan ekoran bagi mendapatkan pulangan modal setiap musim yang memerlukan tuaian hasil sehingga enam tan bagi satu tapak penanaman.

“Kadangkala ada pesawah hanya dapat satu tan sahaja hasil tuaian selain terpaksa menampung kos bahan seperti benih, baja dan racun.

“Belum lagi potongan atau pemutuan padi yang misteri antara 18 hingga 30 peratus tanpa hasilnya diberikan kepada pesawah,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI