fbpx

Sarang dadah digempur, 537 individu ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBAHAGIAN individu yang ditahan dalam Op Tapis Khas yang dijalankan selama tiga hari sejak Selasa lalu di seluruh Perak.

IPOH – Seramai 537 individu termasuk 16 warga asing ditahan menerusi Op Tapis Khas selepas ‘sarang’ penagihan dadah di seluruh negeri digempur polis selama tiga hari sejak Selasa lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, jumlah tangkapan di 22 lokasi itu membabitkan 525 lelaki dan 12 wanita berusia antara 19 hingga 67 tahun.

Katanya, serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Perak dan Daerah serta balai-balai itu dilakukan di kawasan Felda, Felcra, Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), Program Perumahan Rakyat (PPR), kawasan perumahan dan nelayan serta ‘mobile port’.

“Daripada keseluruhan tangkapan yang dilakukan, seramai 49 individu ditahan di bawah kesalahan pengedaran dadah, 177 orang bagi kesalahan memiliki dadah manakala 275 penagih disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Seramai 22 orang dikategorikan sebagai orang yang dikehendaki ditangkap selain 14 orang pula ditahan di bawah Seksyen 3(1) ADB (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985 selain 17 suspek dikenal pasti penagih dadah tegar dan akan diambil tindakan di bawah Seksyen 39C akta sama,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, pelbagai dadah dirampas termasuk 213.25 gram (g) heroin, syabu/methamphetamine (224g), ganja (5.53g), 45 liter cecair ketum, 0.01 liter kodien dan 10.0 kilogram daun ketum.

Katanya, nilai keseluruhan dadah yang dirampas berjumlah RM51,813.80.

“Dalam serbuan itu, kita turut menyita tiga buah kereta, sembilan buah motosikal dan wang tunai dengan nilai keseluruhan berjumlah RM143,360,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI