fbpx

Mahkamah: Kes saman fitnah Mark – Mohd. Zaki selesai secara baik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Zaki (kiri) dan Mark bersalaman ketika hadir di Mahkamah Sesyen Sivil, hari ini.

KUALA LUMPUR – Kes saman fitnah Naib Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Mark William Ling Lee Meng terhadap bekas jaguh lompat kijang dan lompat jauh Mohd. Zaki Sadri, selesai secara baik selepas bekas atlet itu memohon maaf secara terbuka di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.

Dalam prosiding hari ini ketika membacakan permohonan maafnya, Mohd. Zaki turut memberikan aku janji untuk tidak mengulangi pernyataan-pernyataan serupa pada masa hadapan.

“Saya ingin tanpa syarat dan tanpa sebarang syarat menarik balik semua dakwaan yang dibuat dalam kenyataan akhbar tersebut. Saya dengan tulus ikhlas dan sedalam-dalamnya memohon maaf kepada Datuk Mark Willian atas keaiban dan kesulitan yang dialaminya.

“Saya selanjutnya merakamkan kekesalan saya yang setulus-tulusnya dan sedalamnya di atas rasa malu dan kesulitan yang ditimbulkan oleh penerbitan kata-kata (fitnah) dan tidak berbelah bahagi memohon maaf atas penyiaran kata-kata itu,” katanya dalam permohonan maaf terbabit.

Sejurus selepas tamat prosiding Mohd. Zaki dan Mark dilihat bersalaman antara satu sama lain.

Terdahulu, Hakim Zulqarnain Hassan sebelum merekodkan perjanjian persetujuan sempat mengucapkan tahniah kepada kedua-dua pihak termasuk peguam-peguam kerana berjaya menyelesaikan kes saman itu secara baik.

“Mahkamah ingin mengucapkan tahniah kepada kedua-dua pihak terutamanya kepada defendan (Mohd. Zaki) kerana telah menunjukkan rasa insaf yang menunjukkan kematangannya dalam memilih untuk berdamai daripada (terus) bertelingkah. Ini satu pilihan yang bijak sebab ia tidak akan menghabiskan masa, tenaga dan wang,” kata hakim terbabit.

Sejurus mahkamah merekodkan perjanjian persetujuan itu, peguam Sunther Thulasi yang mewakili Mark memaklumkan pihaknya tidak memohon sebarang kos.

Pada prosiding hari ini, Mark turut diwakili peguam, Ahmad Amir Mahmood manakala Mohd. Zaki diwakili peguam, Rossa Severinus.

Mark memfailkan saman terhadap Mohd. Zaki pada 30 Jun lalu atas dakwaan bekas jaguh lompat jauh dan lompat kijang negara telah memfitnahnya dalam satu sidang media pada 21 Jun lalu berkait dengan kejohanan Sukan SEA di Kemboja, pada bulan yang sama.

Menurut penyataan tuntutan Mark selaku plaintif, beliau mendakwa kenyataan yang dikeluarkan oleh pemenang pingat emas sebanyak lapan kali Sukan SEA antara lain menggambarkannya sebagai seseorang yang tidak layak dan sesuai untuk menjadi Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan KOM dan telah mensabotaj peluang Malaysia untuk menang di kejohanan antarabangsa.

Kenyataan berbaur fitnah itu juga didakwa mempunyai maksud tersirat bahawa Mark telah mematahkan peluang atlet Malaysia untuk menang di kejohanan antarabangsa seperti Sukan Asia di Hangzhou, China dengan tidak mengikuti rancangan yang dicadangkan defendan selain tidak bertindak demi kepentingan atlet Malaysia.

Sementara itu, Mohd. Zaki dalam pembelaannya memberitahu, kenyataan yang dibuatnya pada sidang media itu adalah komen berpatutan dan berkepentingan awam.

Mohd. Zaki dilantik sebagai ketua jurulatih olahraga negara pada Februari lalu bagi menggantikan tempat Mohd. Manshahar Abdul Jalil yang kontraknya tidak diperbaharui. Mohd. Zaki kemudian meletak jawatan pada Mei 2023. KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI