fbpx

Mahkamah: Lelaki didakwa guna sijil, transkrip palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang peniaga didakwa di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan menggunakan Sijil Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik (Kepujian) dan transkrip peperiksaan universiti palsu dua tahun lalu.

Bagaimanapun, Joey Ho Wei Cheng, 38, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nurul Izzah Shaharuddin.

Mengikut pertuduhan, Joey didakwa dengan curangnya menggunakan dokumen sebagai tulen iaitu Sijil Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik (Kepujian) dan transkrip peperiksaan daripada sebuah universiti yang diketahui pada masa tertuduh menggunakannya adalah satu dokumen palsu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Sultan Salahuddin, di sini, pada 23 Jun 2021, mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan (KK) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, R.G Harvind mencadangkan jaminan RM10,000 dengan dua penjamin terhadap tertuduh berserta syarat tambahan tertuduh melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Namun peguam, Mohamed Musthafa yang mewakili tertuduh memohon jaminan minimum atas alasan perlu menanggung isteri yang sedang mengandung dan dua anak berusia tujuh serta tiga tahun.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000.

Mahkamah kemudian menetapkan 23 November ini bagi sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI