KUCHING – Tiada penjualan beras plastik berlaku di Sarawak, kata Pengarah Pejabat Kawalselia Padi dan Beras (KPB) Cawangan Kuching Nor Anizan Radzali.
Justeru, beliau menolak serta menafikan isu beras plastik yang tular di media sosial baru-baru ini sehingga menyebabkan kegusaran orang ramai di negeri ini.
“Sampel beras dari pemborong-pemborong yang terlibat dalam isu tersebut telah dibawa ke Jabatan Kimia untuk dianalisis.
“Hasil pemeriksaan dan penilaian pertama, perkara berkenaan didapati tidak berlaku,” katanya ketika ditemui pada program Influencer@JaPen Sarawak Edisi Khas oleh Jabatan Penerangan Malaysia, Sarawak di sini hari ini.
Menurutnya, pemprosesan beras plastik adalah melibatkan kos yang tinggi berbanding kos proses beras biasa.
Sehubungan itu, beliau percaya pemborong-pemborong di Sarawak tidak akan mengambil risiko atas faktor kos berkenaan.
“Setakat ini, kilang pemprosesan beras plastik juga tidak wujud di Sarawak,” katanya.
Menjelas lanjut, Nor Anizan berkata kemasukan beras import ke Malaysia melalui Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) perlu melepasi beberapa tapisan oleh beberapa agensi dan oleh itu, adalah mustahil beras plastik boleh masuk ke negara (atau negeri) ini sewenang-wenangnya.
Sementara berkaitan kenaikan harga beras, beliau berkata bermula 5 Oktober lalu, kerajaan memberikan subsidi sebanyak RM950 bagi setiap tan metrik (Beras Putih Import – BPI) kepada Sabah dan Sarawak bagi membolehkan rakyat mendapatkan beras pada harga maksimum RM31 untuk setiap 10 kilogram.
“BPI bersubsidi yang dijual boleh dikenal pasti melalui logo berwarna biru muda dengan tulisan ‘Beras Putih Super (Import)’ pada paket beras berkenaan.
“Semua beras dengan logo tersebut perlu dijual pada harga subsidi (RM31) yang ditetapkan, tanpa mengira jenama beras itu,” katanya.
Nor Aniza berkata orang ramai boleh menyalurkan aduan atau sebarang pertanyaan mengenai bekalan atau harga beras menerusi http://skpb.kpkm.gov.my/adu atau menghubungi talian ‘hotline’ pejabat KPB (Kuching): 082-578 941/ 013-292 0223, (Sibu): 084-326 494/ 017-478 8479 atau (Miri): 085-665 523/ 011-5859 8300.














