fbpx

Eden Hazard akhirnya umum persaraan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HAZARD mengumumkan persaraannya dari dunia bola sepak pada usia 32 tahun. - AFP

LONDON – Bekas pemain sayap Chelsea dan Real Madrid, Eden Hazard mengumumkan persaraannya secara rasmi daripada arena bola sepak pada usia 32 tahun selepas dibelenggu masalah kecederaan sehingga menjejaskan prestasinya sebagai pemain.

Hazard menyertai Real dari Chelsea pada 2019 selepas memenangi dua gelaran Liga Perdana Inggeris dengan nilai perpindahan sebanyak £89 juta (RM515.64 juta), namun hanya sempat membuat 54 penampilan sahaja bersama gergasi La Liga tersebut sebelum membuat keputusan meninggalkan kelab itu pada hujung musim lalu.

“Anda mesti mendengar kata hati sendiri dan berhenti pada masa yang tepat. Selepas 16 tahun, saya sudah beraksi lebih 700 perlawanan dan kini saya membuat keputusan untuk mengakhiri karier sebagai pemain profesional,” katanya yang berstatus ejen bebas selepas kontraknya bersam Real ditamatkan Jun lalu.

Hazard yang merupakan pemain antarabangsa Belgium turut membuat keputusan bersara dari peringkat antarabangsa pada Disember tahun lalu selepas negara itu tersingkir daripada saingan peringkat kumpulan ketika aksi Piala Dunia 2022 di Qatar.

Sepanjang bersama Real, Hazard meraih gelaran Liga Juara-Juara, Piala Kelab Dunia, Piala Super Eropah, Piala Raja Sepanyol, dua gelaran La Liga dan dua gelaran Piala Super Sepanyol, namun dia hanya meledak tujuh gol bersama pasukan itu yang dianggap prestasi sangat mengecewakan.

Hazard memulakan karier bola sepak profesionalnya bersama Lille di Perancis dengan meledak 50 gol dalam 149 penampilan dan membantu pasukan itu meraih dua gelaran Ligue 1 dan Piala Perancis pada musim 2010/11.

Dia kemudiannya berpindah ke Stamford Bridge pada musim panas 2012 dengan nilai £32 juta (RM185.40 juta) dan muncul antara pemain terbaik kelab itu dengan memenangi Pemain Terbaik Tahunan PFA pada musin 2014/15 dan meledak keseluruhan 110 gol dalam 352 penampilan bersama pasukan tersebut.

“Sepanjang karier, saya bertuah kerana sempat mengenai pengurus, jurulatih dan rakan sepasukan yang hebat. Terima kasih kepada anda semua yang melalui tempoh hebat tersebut dan saya akan merindui anda semua,” jelasnya. – KOSMO ONLINE!

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI