fbpx

Ibu failkan saman, anak ditimpa besi hiasan, diberhentikan sekolah swasta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar besi yang dijadikan perhiasan di dalam kelas dan menimpa kanak-kanak lelaki berkenaan (kanan).

KUALA LUMPUR – Seorang wanita bakal memfailkan saman terhadap sebuah sekolah swasta antarabangsa di Mont Kiara, kerana didakwa cuai sehingga menyebabkan anaknya cedera dihempap besi perhiasan di dalam kelas, 2 Ogos lalu.

Selain itu, usahawan yang berusia 33 tahun itu juga mendakwa, berlaku salah nyata oleh pihak sekolah bahawa anaknya yang berusia empat tahun itu juga telah menyebabkan kecederaan kepada kanak-kanak lain.

Menurut peguam yang mewakilinya, Muhammad Hariz Md. Yusoff, anak guamnya sebelum itu telah pun membuat laporan polis berkenaan kejadian tersebut pada September lalu, manakala saman akan difailkan di Mahkamah Kuala Lumpur pada minggu hadapan.

“Kejadian berlaku dalam kawasan sekolah yang mana perhiasan yang diperbuat daripada rim digantung dalam kelas serta menimpa kanak-kanak ini.

“Yang kedua berlaku misrepresentasi oleh pihak sekolah yang anak ini berkelakuan hingga menyebabkan kecederaan ke atas kanak-kanak lain.

“Namun apabila si ibu melihat sistem televisyen litar tertutup (CCTV) , fakta yang diperoleh adalah berbeza dengan apa yang dinyatakan,” jelasnya.

Menurut Muhammad Hariz, tindakan wanita itu yang mempersoalkan perkara berkenaan, dinafikan pihak sekolah swasta terbabit malah kanak-kanak tersebut juga telah ditamatkan persekolahan tanpa justifikasi yang adil.

“Pihak kami telah pun menghantar satu surat tuntutan (LOD) dan pemakluman susulan kepada pihak sekolah namun tidak mendapat sebarang pematuhan kepada tuntutan guaman.

“Antara lain kebimbangan anak guam kami setelah berlaku kejadian berkenaan, kanak-kanak itu telah ditamatkan persekolahan tanpa sebarang justifikasi kukuh dan prosedur yang betul.

“Ia beri kesan mendalam dan trauma kepada kanak-kanak terbabit,” katanya.

Menurut Muhammad Hariz, sebelum itu, anak guamnya ada membuat dua tuntutan kepada pihak sekolah namun tidak mendapat sebarang respon.

“Pertama, tuntutan maaf kepada kanak-kanak terbabit kerana dia telah terkesan dengan insiden tersebut.

“Kedua, tuntutan ganti rugi berjumlah RM100,000 merangkumi kos perubatan, masa, tenaga dan trauma yang dialami kanak-kanak berkenaan.

“Namun apabila pihak sekolah gagal beri respons terhadap tuntutan-tuntutan ini, jadi kami teruskan dengan tindakan saman,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI