fbpx

Peranan WCB diperluas, tidak terhad perangi jenayah hidupan liar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RAZARUDIN (kiri) beramah-mesra bersama anggota Senoi Praaq pada Majlis Perasmian WCB/PSK KDNKA Bukit Aman di Pusat Latihan Pasukan Gerakan Am (PLPGA) Ulu Kinta di sini hari ini.

IPOH – Peranan Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan diperluaskan dan tidak hanya terhad kepada usaha memerangi jenayah berkaitan hidupan liar.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain sebaliknya berkata, peranan WCB/PSK itu diperhebatkan lagi bagi memastikan sumber asli dan mineral negara termasuk unsur nadir bumi (REE) terpelihara.

Katanya, kewujudan WCB/ PSK yang diletakkan di bawah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman itu merupakan komitmen pihaknya menzahirkan usaha menangani jenayah hidupan liar dan melindungi khazanah negara.

“Selain berperanan melindungi hidupan liar terutamanya spesis Harimau Malaya yang diancam kepupusan, kita juga mahu melindungi khazanah alam dan sumber asli di laut, darat dan udara.
Kita mahu pastikan khazanah negara ini dilindungi daripada sebarang aktiviti pemburuan haram.

“Jadi, bukan sahaja REE, malah yang melombong emas, pembalakan dan mengutip hasil flora dan fauna yang dilakukan secara haram juga akan kita titikberatkan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian WCB/PSK KDNKA Bukit Aman di Pusat Latihan Pasukan Gerakan Am (PLPGA) Ulu Kinta di sini hari ini.

Menurut beliau, pihaknya akan menggunakan segala peruntukan undang-undang yang ada termasuk Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) untuk mengenakan hukuman lebih berat kepada pemburu haram.

Jelas beliau, penubuhan WCB/PSK adalah tepat pada masanya memandangkan jumlah perdagangan haram hidupan liar khususnya membabitkan Harimau Malaya kian meningkat.

Katanya, berdasarkan statistik yang disediakan Perhilitan, sebanyak 71 perdagangan haram hidupan liar direkodkan antara tahun 2021 dan 2022.

“Kita mahu melindungi Harimau Malaya daripada kepupusan. Harga seekor Harimau Malaya kira-kira USD55,000 (RM259,960.20). Mereka (pemburu haram) memilih haiwan pemangsa ini kerana nilainya yang tinggi,” katanya.

Tambah Razarudin, buat masa ini WCB/PSK membabitkan 78 keanggotaan terdiri daripada 50 keanggotaan WCB manakala PSK terdiri daripada 28 keanggotaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI