fbpx

Tindakan kompaun pemilik letak kenderaan halang laluan awam wajar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

ISKANDAR PUTERI – Kerajaan negeri beranggapan tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengenakan kompaun terhadap pemilik kenderaan yang melakukan kesalahan meletak kenderaan di luar pagar seperti yang tular di media sosial baru-baru ini sebagai wajar.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, hal itu kerana tindakan dikenakan terhadap pemilik kenderaan itu dibuat berdasarkan aduan awam diterima PBT berkenaan.

Menurut beliau, pemilik kenderaan juga telah diberikan nasihat sebanyak tiga kali, namun dia tetap melakukan kesalahan sama menyebabkan tindakan kompaun diambil selepas pertimbangan dibuat.

“Undang-undang ini bukan perkara baharu dan tidak hanya terpakai di Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) sahaja, sebaliknya kesemua 16 PBT di Johor mempunyai undang-undang sama. Cuma tindakan penguatkuasaan dibuat setelah mengambil kira beberapa faktor, antaranya aduan awam dan kewajaran tindakan sedemikian diambil.

“Dalam kes yang tular di media sosial baru-baru ini, pemilik kenderaan tersebut telah diberikan nasihat untuk tidak mengulangi perbuatan itu sebanyak tiga kali, sebelum kompaun dikeluarkan,” katanya kepada pemberita.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan telah berlaku salah faham berhubung isu berkenaan sehingga menyebabkan ia menjadi tular di media sosial sedangkan realitinya adalah berbeza.

“Setelah masyarakat diberikan kefahaman atas tindakan kompaun itu, kita terima banyak maklum balas positif dengan orang ramai mengalu-alukan tindakan tersebut kerana menurut mereka, terdapat banyak kenderaan yang diletakkan di kawasan tidak sepatutnya.

“Ini termasuklah di laluan sempit atau persimpangan jalan sehingga menyukarkan bas atau van sekolah untuk lalu, termasuklah lori pembersihan dan lain-lain,” jelasnya.

Beberapa hari lalu, tular satu notis pemberitahuan MBPG yang menyatakan larangan meletakkan kenderaan di hadapan rumah termasuk di luar pagar sehingga mendapat pelbagai reaksi penduduk Pasir Gudang, termasuk kepimpinan politik.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI