fbpx

Projek naik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Senai telan kos RM11.9 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ONN HAFIZ menandatangani plak sempena perasmian sempena Majlis Perasmian Pembesaran LTAS, Kulai hari ini. - Foto oleh RAJA JAAFAR ALI / KOSMO!

KULAI – Projek naik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) di sini menelan belanja RM11.9 juta membabitkan kawasan seluas 1,690 meter persegi.

Pengerusi Senai Airport Terminal Services Sdn. Bhd. (SATSSB), Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh berkata, pembesaran Balai Berlepas LTAS baharu ini yang bermula sejak Mac 2020 dijangka mampu meningkat kapasiti pengendalian 5 juta penumpang setahun.

“Projek naik taraf LTAS ini siap sepenuhnya pada Ogos lalu dan telah memperolehi Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC).

“Sebanyak RM11.9 juta diperuntukkan untuk membiayai projek yang meliputi 1,690 meter persegi menjadikan keluasan Balai Berlepas kepada 9,806 meter persegi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Pembesaran LTAS di Senai di sini hari ini.

Hadir merasmikan majlis ialah Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Che Khalib berkata, Balai Berlepas baharu itu dilengkapi kemudahan antaranya lima pintu berlepas baharu, tempat duduk tambahan, lot kedai, Sistem Paparan Maklumat Penerbangan, eskalator, sistem penyiaran awam serta sistem Wi-Fi.

Tambahnya, bagi tempoh Januari sehingga Ogos tahun ini, LTAS telah mengendalikan penumpang sebanyak 1.9 juta.

“Berdasarkan unjuran SATSSB, projek naik taraf ini mampu menampung penumpang lebih besar sehingga tahun 2026 dan sasaran unjuran menjelang 2030 adalah 7 juta penumpang,” katanya.

Dalam pada itu, Che Khalib berkata, sejak pengambilalihan operasi, SATSSB telah melabur lebih daripada RM620 juta untuk menaik taraf dan meningkatkan kemudahan serta insfrastruktur operasi LTAS.

Selain mengendalikan penerbangan penumpang domestik dan antarabangsa, LTAS turut menawarkan perkhidmatan dan kemudahan seperti kompleks kargo, pembaikan penyelenggaraan pesawat dan baik pulih (MRO), logistik dan gudang, serta Zon Perindustrian Bebas LTAS.

LTAS sebagai pintu masuk penerbangan Johor kini merupakan salah satu lapangan terbang tersibuk di Malaysia dengan mempunyai 17 destinasi menghubungkan ke bandar-bandar domestik dan lima bandar antarabangsa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI