KOTA BHARU – Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa di sini merupakan lapangan terbang domestik paling moden dan cantik di seluruh negara sekali gus mampu sehingga 4 juta penumpang setahun.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, LTSIP adalah lapangan terbang paling terbaharu yang siap dinaik taraf manakala lapangan terbang lain masih menjalani proses sama ketika ini.
Menurutnya, terdapat beberapa projek yang masih dilaksanakan di LTSIP untuk memberi manfaat kepada rakyat.
“Lapangan terbang ini telah mengendalikan seramai lebih 1.7 juta penumpang pada tahun lalu iaitu peningkatan sebanyak 14.1 peratus berbanding lebih 1.4 juta pada 2024. Pencapaian itu jelas menunjukkan bahawa jumlah penumpang melepasi kapasiti asal terminal sebanyak 1.5 juta penumpang setahun.
“Projek bernilai RM440 juta itu dilaksanakan secara berfasa pada Fasa 1 telah disiapkan dan mula beroperasi pada Mei 2024. Fasa itu merangkumi pembinaan sebahagian terminal baharu dan penyediaan kemudahan asas operasi,” katanya semasa berucap pada Majlis Pelancaran Terminal Baharu LTSIP, Pengkalan Chepa di sini hari ini.
Anthony memberitahu, LTSIP dijangka mampu menampung sehingga 4 juta penumpang setahun dengan keluasan terminal diperluaskan daripada 12,000 meter persegi kepada 36,000 meter persegi.
Menurutnya, selain itu, projek pemanjangan landasan LTSIP tidak dianggap sebagai satu projek berasingan, tetapi sambungan kepada projek sedia ada.
“Keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar dapat mempercepatkan projek berkenaan kerana tidak memerlukan proses tender dan menjadi sambungan kepada Fasa 2 LTSIP.
“Pemanjangan landasan lapangan terbang ini daripada 2,400 meter kepada 2,800 meter bertujuan bagi menyokong operasi pesawat narrow-body (berbadan sempit) seperti Boeing 737 MAX, Airbus A321 neo dan A321XLR.
“Ini secara tidak langsung membuka potensi kepada pengendalian penerbangan antarabangsa jarak dekat dan sederhana sekali gus menghubungkan Kota Bharu dengan lebih banyak destinasi serantau,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














