PETALING JAYA – Lelaki yang mempunyai gaji RM1,500 pada zaman ini hanya mampu berangan-angan untuk mempunyai pasangan ekoran pendedahan menunjukkan kaum wanita lebih cenderung memilih mereka yang berduit untuk mendirikan rumah tangga.
Antara alasan yang digunakan ialah pendapatan tersebut tidak cukup untuk menampung kos sara hidup selain khuatir gagal mengecapi hidup selesa selepas bernikah dan mempunyai anak.
Sebaliknya kaum hawa lebih cenderung untuk berkahwin lambat kerana mahu memilih bakal suami yang arif mengenai tanggungjawab sebagai ketua keluarga.
Satu analisis oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial Universiti Malaya menunjukkan kos hidup selesa untuk pasangan suami isteri tanpa anak sekitar RM4,630 manakala bujang RM1,930.
Seorang guru bujang, Nasriza Ismail, 28, berkata, bakal suaminya bukan sahaja perlu segak dan memiliki akhlak baik tetapi mesti berupaya menyara keluarga, memberi nafkah dan menyediakan tempat tinggal selesa.
“Jika gaji rendah elok tangguh dulu niat mahu bernikah sebab sewa rumah saja sudah RM800 dan ‘makan’ separuh gaji.
“Kalau bujang boleh catu makanan tetapi jika sudah berkeluarga macam mana? Jika jodoh dengan lelaki gaji rendah dia perlu ada inisiatif untuk cari duit lebih seperti jadi rider Grab atau foodpanda pada waktu terluang,” katanya kepada Kosmo!.

Kakitangan awam, Latifah Mohd. Kamal, 37, pula tidak kisah digelar anak dara tua asalkan tidak tersalah memilih suami.
“Salah satu kriteria bakal suami saya mesti gaji dia lebih daripada saya. Zaman sekarang orang cerai disebabkan masalah kewangan dan saya tak mahu hidup merana.
“Ramai kawan yang sudah berkahwin terpaksa membuat perancangan keluarga kerana takut tidak bersedia untuk mendapat anak ketika ekonomi gawat ketika ini,” katanya.
Menurut Latifah, dia menjadi takut apabila mendapat tahu rakan bergaduh suami isteri disebabkan hutang bank.
“Itu semua buat pening kepala lagipun saya tak mahu bela ‘biawak hidup’,” tegasnya.
Bagi Syahirah, 30, dia lebih suka mengikut saranan agama dalam soal jodoh.
“Suami perlu sediakan tempat tinggal, makanan dan dua persalinan setiap tahun di samping nafkah. Jika ada lebih baru bawa keluarga melancong atau makan.
“Tetapi jika gaji RM1,500, macam mana mahu tampung. Itu belum lagi jika sudah dapat anak,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Najmi Mohamad Zhahir, 25, berkata, lelaki perlu berani berubah dan tingkatkan pendapatan sebelum berkahwin.
“Saya ada kerja tetap dan jadi rider makanan untuk tampung hidup di Lembah Klang. Dengan pendapatan sekarang ini baru saya berani untuk berkahwin,” katanya.















