fbpx

Kerajaan negeri dibenar laksana eksplorasi awal REE

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nik Nazmi.

PUTRAJAYA – Kerajaan negeri dibenarkan melaksanakan eksplorasi awal unsur nadir bumi (REE) berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) Sumber Asli (NR-REE) dan dasar-dasar mineral sedia ada.

Ia diputuskan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Industri Mineral (JKPPIM) yang pertama diadakan semalam dipengerusikan oleh Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Nik Nazmi Nik Ahmad.

Nik Nazmi berkata, mesyuarat itu diadakan bagi melihat keperluan dalam melaksanakan rangka kerja kebangsaan bagi pembangunan industri mineral contohnya untuk pengekstrakan REE.

Jelasnya, kebenaran eksplorasi awal REE kepada kerajaan negeri itu bagi menyahut ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Kajian Separuh Penggal RMK-12 baru-baru ini.

“Kertas pertimbangan telah dibentangkan ialah Kerangka Dasar Mineral Negara 3 manakala, kertas makluman pula ialah Potensi Sumber Mineral Strategik dan Sumbangannya Sebagai Kekayaan Baharu.

“Ia turut melibatkan Laporan Pengauditan Pelaksanaan Projek Perintis Perlombongan Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE) di Mukim Kenering, Daerah Hulu Perak, Perak dan Perkara-Perkara Utama Daripada Keputusan Mesyuarat Majlis Mineral Negara Kedua dan Majlis Tanah Negara Ke-80,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya, Dasar Mineral Negara baharu (DMN3) akan dirangka bagi memacu pembangunan industri mineral yang menyeluruh sebagaimana diputuskan menerusi Mesyuarat MTN ke-80 pada 12 September lalu.

Tambahnya, kerajaan akan membangunkan dasar larangan eksport bahan mentah nadir bumi bagi mengelakkan eksploitasi dan kehilangan sumber.

“DMN3 memberikan tumpuan kepada usaha memperkasa perundangan dan persekitaran industri, mengukuhkan keseluruhan rantaian nilai industri dan meningkatkan pengaplikasian teknologi terkini.

“Ini termasuk memperkasa modal insan tempatan dan memantapkan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam industri mineral,” katanya.

Jelasnya Nik Nazmi, NRECC juga sedang meneliti potensi untuk membangunkan industri pertengahan dan hiliran bagi industri mineral negara.

“Ini bagi memastikan potensi ekonominya dapat direalisasikan sepenuhnya dan tidak hanya bergantung kepada pengeksportan mineral mentah.

“Pelaburan berkualiti komitmen daripada kerajaan-kerajaan negeri akan dapat memastikan industri yang diwujudkan, memberi impak positif kepada ekonomi negara,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI