fbpx

Mahkamah: Lelaki bebas tuduhan akses laman sesawang pornografi kanak-kanak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini melepas dan membebaskan seorang kakitangan Bahagian Pengurusan Maklumat (BPM) daripada sabitan dan hukuman penjara 24 bulan atas kesalahan mengakses laman sesawang melibatkan pornografi kanak-kanak, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Ahmad Bache memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan Syamsul Muhaiyudin Musa dan mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen yang mensabit dan menghukumnya atas kesalahan itu.

Beliau turut mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkannya menjalani kaunseling dan pengawasan polis selama dua tahun.

Syamsul Muhaiyudin, 41, didakwa mengakses laman sesawang berkaitan pornografi kanak-kanak menggunakan sebuah peranti di antara pukul 5.29 petang dan 5.35 petang, pada 3 Jun 2020 di bilik tidur rumahnya di Taman Batu Muda, Sentul di sini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Dalam penghakiman yang diperolehi Utusan Malaysia hari ini, Hakim Ahmad menyatakan, mahkamah membenarkan permohonan perayu untuk memasukkan keterangan baharu di bawah Seksyen 317 Kanun Prosedur Jenayah (CPC) sebelum rayuan penuh didengar.

Keterangan baharu itu berkaitan rekod kehadiran dan pergerakan perayu yang menunjukkan dia bekerja pada hari tersebut dan keterangan itu disokong oleh afidavit majikannya.

Keterangan itu sekaligus menafikan perayu berada di bilik tidur tempat kejadian berikutan keterangan majikannya yang mengesahkan lelaki itu bertugas pada waktu dan di tempat seperti yang dinyatakan dalam pertuduhan.

“Majikannya merupakan saksi yang kredibel apatah lagi rekod log keluar masuk tersebut direka khas dan bersifat kalis pemalsuan.

“Mahkamah mendapati keterangan baharu itu menguatkan lagi pembelaan perayu dan berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah pada kes pendakwaan. Pertuduhan terhadap perayu cacat dan tidak boleh dipertahankan. Perayu dilepas dan dibebaskan,” ujar beliau.

Pembelaan perayu turut menafikan dia mengakses pornografi kanak-kanak sebaliknya mendakwa orang lain menyamar dan menggunakan alamat internet protocol (IP) pada tarikh dan masa seperti dalam pertuduhan.

Menurut perayu, dia tidak berada di biliknya sebaliknya dalam perjalanan pulang dari tempat bekerja.

Mahkamah berpuas hati bahawa siasatan tidak lengkap kerana pihak pendakwaan gagal membuktikan perayu berada di tempat kejadian dan kemungkinan orang lain mengakses alat-alat peranti dalam bilik tersebut.

Penghakiman itu turut menggariskan ringkasan fakta kejadian termasuk keterangan pengadu yang juga pegawai siasatan yang bertugas di Malaysia Internet Crime Against Children, D11, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Pegawai itu yang merupakan saksi pendakwaan kedua (SP2) telah menjalankan siasatan dalam satu laman web yang merupakan rangkaian perkongsian pornografi kanak-kanak.

Siasatan lanjut mendapati enam fail pornografi kanak-kanak telah dimuat-turun menerusi fail tersebut menggunakan alamat IP pada peranti yang digunakan perayu berdasarkan semakan dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI