fbpx

AmMetLife bakal dijual kepada Great Eastern, RM1.12 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sulaiman

PETALING JAYA – AMAB Holdings Sdn. Bhd. (AMAB), anak syarikat milik penuh AMMB Holdings Berhad (AMMB) telah memeterai Perjanjian Pelaksanaan bersama MetLife International Holdings, LLC (MetLife), Great Eastern Life Assurance (Malaysia) Berhad (GELM) dan Great Eastern Takaful Berhad (GETB) hari ini untuk cadangan penjualan AmMetLife Insurance Berhad (AML) dan AmMetLife Takaful Berhad (AMT) pada harga RM1.121 bilion.

Dalam struktur pemilikan semasa, pemilikan AML dan AMT dibahagikan sama rata antara AMAB dan MetLife.

AMAB memegang 50 peratus, ditolak satu saham dalam AML, manakala MetLife memiliki baki 50 peratus dan satu saham. Sebaliknya, dalam AMT, AMAB memiliki 50 peratus campur satu saham, manakala MetLife mempunyai 50 peratus tolak satu saham.

Setelah mendapat kelulusan kawal selia yang diperlukan, pihak terlibat akan meneruskan perjanjian jual beli. Di bawah pengaturan ini, GELM dan GETB akan membeli 100 peratus daripada modal saham AML dan AMT.

Selepas pemerolehan, AML dan AMT akan digabungkan dan disepadukan dengan GELM dan GETB. Cadangan penjualan itu juga akan menyaksikan Kumpulan AMMB memasuki kerjasama bankasurans dan banktakaful baharu selama 20 tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AMMB, Datuk Sulaiman Mohd. Tahir berkata, penjajaran AmMetLife dan AmMetLife Takaful dengan Great Eastern, peneraju dalam landskap insurans Malaysia dan Asia membuka jalan untuk pihaknya memupuk pertumbuhan yang teguh dan skalabiliti yang mampan.

“Integrasi bersinergi ini akan memberikan kami kelebihan dalam menjamin skala ekonomi yang akan diterjemahkan kepada nilai pelanggan lebih unggul, yang dipertingkatkan dengan gabungan keupayaan pelengkap kami dalam reka bentuk produk, inovasi digital dan kepakaran pengedaran.

“Kami benar-benar teruja dengan potensi yang dimiliki oleh pakatan ini. Ia bukan hanya mengenai pertumbuhan perniagaan, ia adalah mengenai mengubah pengalaman pelanggan.

“Kami komited untuk menggunakan kerjasama strategik ini sebagai batu loncatan untuk inovasi dan membangunkan penyelesaian yang disesuaikan bagi memenuhi keperluan pelanggan kami yang pelbagai pada peringkat kehidupan yang berbeza dalam pasaran tempatan,” tambahnya dalam satu kenyataan hari ini.

Ditubuhkan pada tahun 1908, Great Eastern ialah peneraju pasaran dan jenama yang dipercayai di Singapura dan Malaysia.

Di negara ini, GELM dan GETB menyediakan rangkaian holistik perlindungan insurans hayat dan takaful keluarga kepada lebih 13 juta pelanggan, termasuk skim kerajaan mySalam, disokong oleh lebih 30,000 ejen dan rangkaian pengedaran pelbagai saluran. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI