fbpx

Hanya 30 peratus saman terhadap warga asing diselesaikan – Ayob

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengeluarkan 4,862 notis saman terhadap warga asing yang melakukan kesalahan jalan raya bagi tempoh Januari sehingga Ogos tahun ini.

Bagaimanapun, hanya kira-kira 30 peratus atau 1,703 tunggakan saman berjaya diselesaikan warga asing melibatkan dua jenis saman yang dikeluarkan.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, hanya 782 saman K257 iaitu secara bersemuka diselesaikan daripada 2,142 saman dikeluarkan.

“Sementara itu, daripada 2,720 notis kompaun K170A membabitkan kesalahan dikesan melalui kamera atau penguatkuasaan namun hanya diselesaikan 921 saman,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Serah Terima Tugas di Dewan Tan Sri Abdul Rahman Hashim, Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Tambah beliau, pihaknya khusus JSPT kini akan memfokuskan operasi saman tertunggak melibatkan warga asing melibatkan beberapa negeri.

“Antara negeri yang akan difokuskan adalah Kelantan, Johor, Perlis, Kedah dan Perak. Operasi ini kita namakan Saman Tertunggak Warga Asing.

“Kita sudah melancarkan operasi (kesalahan lalu lintas) sejak minggu lepas selepas insiden melibatkan kenderaan perdagangan sehingga menyebabkan kematian.

“Pihak Jabatan Pengagkutan Jalan (JPJ) juga ada melancarkan operasi menyasarkan warga asing,” kata beliau.

Isnin lalu, JPJ mengeluarkan 14,527 saman terhadap penunggang motosikal warga asing di seluruh negara atas pelbagai kesalahan dalam Operasi Khas Motosikal 2023 bermula 1 Sept hingga 20 Sept lepas.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JPJ Datuk Lokman Jamaan dilaporkan berkata, kesalahan utama yang dikesan adalah tiada lesen memandu dengan 6,268 saman, tiada perlindungan insurans (2,667), lesen kenderaan motor tamat tempoh (2,657) dan lain-lain kesalahan teknikal 1,948 saman. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI