fbpx

Ternakan dalam negara bebas penyakit Nipah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Virus Nipah pertama kali dikesan di Malaysia pada 1998 melibatkan sebuah ladang babi di Perak.

PUTRAJAYA – Ternakan di negara ini dilaporkan bebas daripada penyakit Nipah di mana jangkitannya boleh tersebar melalui sentuhan langsung dengan haiwan terjangkit selain udara dicemari titisan pernafasan, rembesan hidung dan mulut serta tisu haiwan terjangkit.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) berkata, situasi itu diputuskan berdasarkan hasil survelan tahunan terkini sehingga Ogos 2023 yang dijalankan ke atas 399 sampel babi komersial dengan mendapati keputusan ujian negatif penyakit berkenaan.

“Jadi, dalam memastikan industri ternakan babi di Malaysia bebas daripada sebarang ancaman penyakit, DVS akan terus menjalankan survelan dan mengambil langkah berjaga-jaga agar penyakit bersifat zoonotik (berjangkit kepada manusia) ini dapat dicegah.

“Penternak babi dinasihatkan untuk tidak menanam pokok buah-buahan di dalam dan sekitar kawasan ladang yang boleh menarik haiwan terutamanya keluang yang berkebolehan menjadi perumah semulajadi virus Nipah,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

Jelasnya, orang awam juga dinasihatkan untuk melapor sebarang kejadian penyakit berjangkit dalam ternakan seperti babi, kuda, atau haiwan kesayangan kepada DVS untuk tindakan selanjutnya.

“Sebagai makluman, penyakit itu disebabkan oleh jangkitan virus Nipah yang mana ia pertama kali dikesan di Malaysia pada tahun 1998 melibatkan ladang babi di Perak dan merebak ke Negeri Sembilan.

“Ia menyebabkan kerugian besar kepada penternak babi dan ekonomi negara serta meragut 105 nyawa manusia,”’jelasnya.

Katanya, usaha pembasmian secara besar-besaran melibatkan pelbagai jabatan dan agensi dijalankan ketika itu, seterusnya pada awal 2001 Malaysia diisytihar bebas penyakit Nipah oleh World Organisation for Animal Health (OIE).

“Sehingga kini, Malaysia masih mengekalkan status bebas Nipah negara melalui program survelan berkala.

“Untuk makluman juga, penyakit ini disenaraikan dalam Penyakit Wajib Lapor yang diwartakan di bawah Akta Binatang 1953 perkara 31 (1),” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI