UNIVERSITI Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus memperkukuh peranannya dalam pembangunan pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) negara melalui pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) bersama Persatuan Pendidikan Teknikal dan Vokasional Malaysia (PPTVM).
Majlis santai tersebut berlangsung di Perpustakaan Tunku Tun Aminah UTHM Khamis lalu sekali gus menyaksikan komitmen kedua-dua pihak dalam memperkasa bidang TVET di Malaysia.
Kerjasama dimeterai meliputi aspek kolaboratif strategik melibatkan bidang akademik, penyelidikan, latihan dan pembangunan profesional.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTHM, Prof. Dr. Afandi Ahmad selaku wakil rasmi Naib Canselor berkata, kerjasama itu membuka ruang lebih luas terhadap pelaksanaan pelbagai program berimpak tinggi yang dapat memberi manfaat kepada pelajar, pensyarah serta industri.
Menurutnya, sebagai universiti yang menumpukan kecemerlangan dalam bidang teknikal dan kejuruteraan, UTHM memainkan peranan penting dalam menyokong agenda nasional TVET.
Ia disokong dan dilaksanakan menerusi pelaksanaan program akademik yang relevan serta kolaborasi bersama pihak industri dan organisasi profesional.
“Pemeteraian MoU ini bukan sahaja mengukuhkan hubungan antara institusi dan organisasi profesional.
“Malah, ia mampu menjadi platform penting dalam usaha memperkasa perkongsian ilmu, kepakaran dan sumber dalam bidang TVET,” katanya.
Sementara itu, Presiden PPTVM, Dr. Lisa Boo Kim Hiok menyifatkan kerjasama itu sebagai langkah signifikan dalam memperluas jaringan kolaborasi strategik antara akademia dan industri.
“PPTVM dikenali sebagai sebuah organisasi profesional yang menghimpunkan pakar, pengamal industri dan institusi berkaitan TVET di Malaysia.
“Matlamat kami mahu memperkukuh ekosistem pendidikan teknikal melalui pelbagai inisiatif seperti perkongsian kepakaran, penganjuran program ilmiah dan pembangunan bakat,” katanya.
Jelasnya, menerusi MoU tersebut, kedua-dua pihak akan berganding bahu bekerjasama dalam pelbagai aspek.Ia termasuk penganjuran seminar, persidangan, program latihan dan pelbagai aktiviti ilmiah yang memberi fokus kepada pembangunan TVET negara secara menyeluruh.
Tambah Lisa, kerjasama itu dijangka menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh kedudukan TVET sebagai pemacu utama pembangunan modal insan berkemahiran tinggi selaras dengan keperluan industri semasa dan masa hadapan negara.
Majlis tersebut dihadiri kira-kira 40 peserta yang terdiri daripada pengurusan tertinggi UTHM, wakil PPTVM dan rakan kolaborasi industri dalam dan luar negara.
Antara wakil industri yang hadir ialah Megaty Property & Management Sdn. Bhd.; Jack Law Chambers; Shang Philosophy Group Sdn. Bhd.; LSP Pro Skill Academy; Bijaksatu Sdn. Bhd.; Link Studio Architect; CTI Consultant Sdn. Bhd.; Conzlab Berhad; Adsbox Entertainment Pte Ltd; AK Empower Group Sdn. Bhd.; Marq Academy Sdn. Bhd.; Aurora Automotive Academy dan IPMAN Global Intellect Sdn. Bhd.














