fbpx

Gabung data persekutuan, negeri kurangkan kos tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hanifah Hajar (kanan) melawat pameran kajian penyelidikan sempena persidangan Statistik Malaysia 2023 "Merentasi Sempadan KDNK: Menuju Kesejahteraan Sosial dan Kelestarian Alam Sekitar" di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia. - Foto oleh FAUZI BAHARUDIN / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Usaha perlu diambil untuk menggabungkan data-data kementerian, jabatan kerajaan sama ada persekutuan atau negeri, badan berkanun dan syarikat milik kerajaan sekali gus bagi menjana statistik yang dapat dimanfaatkan semua pihak.

Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, langkah itu seterusnya mengurangkan kebergantungan kepada pengumpulan data secara banci atau tinjauan yang memerlukan kos yang tinggi.

“Pada masa ini, semua kementerian dan jabatan kerajaan sama ada persekutuan atau negeri, badan berkanun dan syarikat milik kerajaan menyimpan pelbagai data.

“Masalah utama ialah data-data ini berlainan sistem terutamanya dari segi metodologi, standard, konsep dan definisi,” katanya berucap pada Persidangan Statistik Malaysia ke-10 (MyStats) 2023 di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia (BNM) di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin.

Beliau berkata, perkara itu adalah satu daripada cabaran antara agensi kerajaan berhubung pengumpulan data dan menganalisis data yang dihadapi oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sekali gus perlu ditangani bagi memastikan data disediakan terperinci dan memenuhi kehendak pemegang taruh.

Menurutnya, dari segi cabaran teknologi pula, keselamatan data adalah perkara sangat penting untuk ditangani, malah ia berbeza cabarannya dan terus berkembang seiring dengan perkembangan teknologi dan cara baharu untuk mengakses dan memanipulasi data.

Selain itu, Hanifah Hajar berkata, bagi cabaran terhadap komuniti pula ialah kurangnya literasi statistik yang mana pada masa ini, media sosial merupakan medium utama dalam menyampaikan maklumat dengan cepat dan berkesan.

Berhubung persidangan tersebut, beliau berkata, ia bertemakan ‘Merentasi Sempadan KDNK: Menuju Kesejahteraan Sosial dan Kelestarian Alam Sekitar’.

Katanya, beliau yakin persidangan itu boleh menjadi platform berkesan atau medium ‘smart partnership’ untuk berkongsi pandangan, pengalaman dan kepakaran berkaitan domain statistik yang sentiasa berkembang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI