fbpx

Tampar murid: Polis sudah rakam keterangan ustazah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar yang dikongsi keluarga mangsa.

KLANG – Polis telah merakam keterangan daripada seorang ustazah sebuah sekolah di Kampung Jawa di sini yang telah menampar seorang murid tahun satu sehingga bengkak pipinya.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, keterangan guru Pendidikan Islam berusia 40an itu telah diambil pihaknya hari ini.

“Kita telah rakam keterangannya hari ini dan dia dibebaskan selepas percakapan itu direkodkan.

“Kertas siasatan akan dilengkapkan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau menjelaskan, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan.

Sebelum ini, Hoong Fong memaklumkan berdasarkan hasil siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 5.50 petang pada Isnin minggu lalu ketika mangsa dan rakan sekelasnya berada di dewan sekolah sebelum pulang ke rumah setelah selesai acara sukan.

Hoong Fong menambah, guru Pendidikan Islam tersebut menanyakan kepada semua pelajar berkenaan surat pemberitahuan hari sukan yang telah diberikan.

“Mangsa telah menyatakan surat itu hilang dan dipercayai dicuri oleh rakannya. Bagaimanapun, sewaktu menjalankan siasatan didapati surat itu tidak hilang dan berada dalam beg murid tersebut,” katanya.

Jelas beliau, ia membuatkan guru wanita itu menegur murid tersebut agar tidak menuduh orang lain tanpa bukti kukuh lalu menampar pipi kirinya sehingga menyebabkan berlaku sedikit bengkak dan kemerahan. – KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI