fbpx

Fahami konsep istitoah sebelum tunai haji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bakal haji yang memiliki kewangan mencukupi lebih selesa membayar penuh daripada menerima bantuan daripada Tabung Haji. -Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Umat Islam perlu memahami konsep istitoah sebelum menunaikan haji di Tanah Suci sekali gus membolehkan mereka untuk tidak bergantung kepada bantuan kewangan terutamanya daripada kerajaan ketika mahu melaksanakan ibadah tersebut.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, dalam konteks ini, kemampuan menyediakan kewangan bagi perjalanan dan perbe­lanjaan di tanah suci merupakan antara salah satu perkara dalam konsep istitoah.

“Jadi, setiap umat Islam perlu benar-benar memahami konsep tersebut yang mana mereka boleh menunaikan haji apabila berada dalam keadaan berkemampuan sahaja.
“Susulan itu, individu yang mampu daripada sudut kewangan seharusnya mengunakan wang mereka sendiri.

“Dalam situasi ini, subsidi Tabung Haji hanya boleh diberikan kepada golongan kurang mampu menyediakan kewangan, namun bagi mereka yang mempunyai status kukuh, mungkin tidak perlu menerima subsidi,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Sementara itu, mengulas mengenai konsep istitoah, beliau berkata, ibadah haji diwajibkan ke atas umat Islam yang baligh, berakal, merdeka (bukan hamba abdi) dan berkemampuan atau beristitoah.

“Istitoah bermaksud kemampuan daripada aspek penyediaan perbelanjaan untuk pergi ke Tanah Suci, semasa berada di sana dan balik semula ke negara asal serta memiliki wang bagi menyara ke­luarga yang ditinggalkan.

“Ia juga termasuk kemampuan fizikal, keamanan dalam perjalanan dan mempunyai kenderaan.

“Bagi wanita, diwajibkan ditemani suami atau mahram atau institusi tertentu yang dapat menjamin keselamatan serta kebajikan mereka ketika bertolak ke Tanah Suci sehingga dia pulang,” jelasnya.

Katanya, bagi seorang yang sakit atau lanjut usia dan tidak berupaya untuk pergi sendiri ke Tanah Suci pula, jika mereka mampu da­ripada segi kewangan, maka wajib mencari wakil. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI