fbpx

Bukan duit, tapi kotak minuman – Polis Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar rakaman video tular menunjukkan seorang lelaki memberikan sesuatu kepada dua anggota polis dalam sebuah MPV di Kulai, 3 September lalu.

JOHOR BAHRU – Polis Johor menafikan dakwaan dua anggotanya telah menerima rasuah daripada seorang ahli perniagaan seperti yang tular dalam satu rakaman video di aplikasi media sosial TikTok, semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat sebaliknya berkata, pemilik kilang tersebut hanya memberikan air kotak kepada kedua-dua anggota Unit Kereta Peronda (MPV) berkenaan.

Menurut beliau, pihaknya telah menerima dua laporan polis berhubung perkara tersebut, masing-masing dibuat oleh dua anggota terlibat dan pemilik kilang berkenaan.

“Kita dah buka kertas siasatan berhubung perkara itu. Siasatan awal dibuat mendapati pemilik kilang tersebut bukan menyerahkan wang sebaliknya minuman berbentuk air kotak.

“Namun begitu, siasatan tetap dijalankan khususnya melibatkan tindakan anggota yang tidak keluar daripada kenderaan ketika itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan selepas menyempurnakan Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara Kontinjen Johor, di sini hari ini.

Tambah Kamarul Zaman, siasatan dibuat pihaknya mendapati kejadian itu berlaku di kawasan perindustrian sekitar Kulai pada 3 September lalu.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan siasatan juga dibuat melibatkan rakaman pertuturan bahasa Mandarin di dalam video berkenaan.

“Dalam rakaman itu, pemilik kilang ada bercakap dengan adiknya dalam Bahasa Mandarin mengatakan ‘jangan bagi duit kepada mereka, kalau bagi duit dia akan….’, kemudian rakaman itu terputus di situ. Jadi kita akan jalankan siasatan lanjut berhubung perkara ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Kamarul Zaman turut menasihati masyarakat awam untuk berkongsi maklumat berhubung kegiatan salah laku anggota secara terus kepada pihak polis dan bukan melalui media sosial semata-mata.

“Tindakan sedemikian akan memberikan imej negatif dan memburukkan nama agensi ini. Perbuatan memuat naik di media sosial untuk tujuan negatif saya tidak setuju,” jelasnya.

Semalam, tular di aplikasi TikTok sebuah rakaman video berdurasi 39 saat memaparkan seorang lelaki bertindak memberikan sesuatu kepada dua anggota polis yang sedang duduk di dalam kenderaan peronda.

Bagaimanapun dalam video berkenaan tidak jelas kelihatan apa yang diberikan individu berkenaan kepada anggota terbabit.-KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI