fbpx

43 pekerja pembersihan buat piket aman, dua bulan tak dibayar gaji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian pekerja pembersihan mengadakan piket aman di Kuala Krai hari ini selepas pihak majikan tidak membayar gaji mereka sejak dua bulan lalu. Foto ROSMIZAN RESDI

KUALA KRAI – Seramai 43 pekerja pembersihan di beberapa buah sekolah sekitar daerah ini mendakwa terpaksa mengikat perut selepas pihak majikan tidak membayar gaji sejak dua bulan lalu.

Kelewatan pembayaran gaji yang bermula sejak Julai lalu itu sekali gus memberi kesan terutamanya untuk meneruskan kelangsungan hidup mereka.

Lebih menyedihkan, kelewatan pembayaran gaji itu hanya dimaklumkan menerusi satu notis yang diberikan, baru-baru ini.

Zaidi Ibrahim, 39, berkata, setakat ini, dia hanya menerima bayaran gaji bulan Jun pada 8 Julai lalu.

Menurutnya, bagaimanapun, gaji untuk Julai dan Ogos masih belum diterima sehingga sekarang menyebabkan dia tidak mampu membayar komitmen bulanannya.

“Saya kini mempunyai tunggakan bil air dan elektrik mencecah hampir RM1,000. Saya mempunyai enam orang anak masing-masing berusia di antara 7 hingga 17 tahun dan mereka masih bersekolah.

“Apabila gaji saya tertunggak, anak-anak tidak dapat hadir ke sekolah kerana tidak mempunyai wang saku. Sejujurnya, saya bergantung sepenuhnya kepada pendapatan isteri sebagai pembantu kantin sekolah dengan upah sebanyak RM15 sehari,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan piket aman, di sini hari ini.

Seorang ibu tunggal, Siti Nur Hasanah Che Wil, 40, memberitahu, meskipun masih belum menerima gaji sejak dua bulan lalu, dia dan rakan-rakan masih bekerja seperti biasa.

Katanya, dia terus bertahan kerana ini merupakan satu-satunya punca pendapatannya untuk menyara anak-anak.

“Setiap minggu saya berdoa dan setia menunggu duit gaji untuk masuk ke akaun bagi meneruskan kelangsungan hidup.

“Saya berharap pihak bertanggungjawab dapat menyelesaikan masalah ini. Disebabkan tunggakkan gaji tersebut, saya juga tidak mampu membayar sewa rumah,” ujarnya.

Sementara itu, syarikat tersebut ketika dihubungi mengakui kelewatan bayaran gaji ke atas pekerja-pekerjanya disebabkan berdepan masalah kewangan.

Katanya, mereka sedang berusaha untuk membayar kesemua tunggakan gaji pekerja kerana memahami keadaan yang dihadapi pekerja pada ketika ini.

“Sebelum ini, tidak pernah berlaku kelewatan pembayaran gaji sehinggalah pelaksanaan gaji minima RM1,500 yang amat membebankan syarikat bermula Mei tahun lalu.

“Sejak itu, kami terpaksa menggunakan wang syarikat sebagai pusingan untuk membayar gaji pekerja. Kami sedang berusaha bagi memastikan tunggakan ini dapat diselesaikan dengan kadar segera selain gaji dapat dibayar seperti biasa,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI