fbpx

Skim Perubatan Madani: Jumlah ubat ditambah baik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA- Beberapa penambahbaikan telah dilaksanakan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memantapkan pelaksanaan Skim Perubatan Madani (SPM) kepada rakyat B40 termasuk meningkatkan jenis ubat daripada 150 kepada 170 jenis.

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, penambahbaikan itu dibuat selepas KKM menerima dan mempertimbangkan input dan cadangan daripada pelbagai pihak sejak skim SPM itu dilancarkan pada 15 Jun lalu.

“Selain itu, beberapa penambahbaikan lain yang dilaksanakan termasuklah meningkatkan had fi konsultasi daripada RM30 kepada RM35.

“Ia juga meliputi peningkatan jumlah had fi konsultasi dan ubat daripada RM60 ke RM70 selain kadar bayaran ditetapkan untuk ubat-ubatan akan disemak kembali agar selaras dengan harga pasaran semasa,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

Katanya, sejak skim itu diperkenalkan, kira-kira 130,000 pesakit luar telah diberikan rawatan melalui lebih 1,300 klinik-klinik swasta terlibat.

“Susulan itu, KKM menghargai sokongan daripada semua klinik swasta yang menyertai SPM dan berharap kerjasama itu akan berterusan dalam jangka masa panjang.

“KKM dengan ini turut mengalu-alukan klinik perubatan swasta di seluruh negara untuk mendaftar sebagai klinik panel SPM
supaya lebih ramai rakyat dapat menikmati manfaat skim berkenaan,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Dr. Zaliha berkata, penerima Sumbangan Tunai Rahmah boleh menyemak kelayakan dan mengenalpasti klinik SPM berdekatan melalui laman sesawang ProtectHealth htpps://protecthealth.com.my/skimperubatanmadani-ms/.

“Mereka hanya perlu membawa kad pengenalan untuk pengesahan di klinik semasa pendaftaran,” katanya.

Untuk rekod, SPM merupakan inisiatif kerajaan dalam meningkatkan akses kepada penjagaan rawatan primer akut (rawatan pesakit luar ringan) bagi golongan berpendapatan rendah.

Dengan perluasan ini, golongan B40 yang penerima juga penerima STR di seluruh negara boleh mendapatkan rawatan pesakit luar ringan secara percuma di klinik swasta yang berdaftar tanpa perlu membayar sebarang caj.

Kos rawatan ini akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan dan dibayar secara langsung kepada klinik swasta. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI