PETALING JAYA – Pesakit boleh mengalami kecederaan tulang dan koyak urat saraf di bahagian leher belakang sekiranya mendapatkan rawatan daripada pengamal kiropraktik yang tidak bertauliah.
Senior Kiropraktik dan Pengarah Klinik My Spine Network, Nur Fazlina Mohamad Razif berkata, banyak kes di mana pesakit diberikan rawatan secara melulu oleh kiropraktor tidak bertauliah tanpa punca sakit didiagnos terlebih dahulu.
Nur Fazlina yang berpengalaman selama 10 tahun dalam bidang kiropraktik menjelaskan, ini akan menjadikan diagnosis asal bertambah teruk terutamanya kes seperti ‘slipped disc’, gangguan saraf atau pesakit yang mempunyai masalah keretakan tulang.
“Kiropraktor perlu berdaftar dengan Persatuan Kiropraktik Malaysia yang bidang kuasanya berada di bawah Kementerian Kesihatan (KKM).
“Akan ada sesi konsultan terlebih dahulu untuk mengetahui masalah pesakit, seterusnya melakukan ujian fizikal tertentu seperti sendi otot dan saraf.
“Kemudian jika perlu, pesakit juga akan dirujuk kepada doktor kesihatan awam untuk lakukan ujian imbasan X-ray. Lepas buat ujian, baru boleh buat rawatan kiropraktik terhadap pesakit.
“Ramai pesakit yang datang pada saya mengadu sakit makin teruk selepas dapatkan rawatan daripada kiropraktor tidak bertauliah. Sebab itu pentingnya dapatkan khidmat nasihat dan ujian fizikal penuh untuk jamin keselamatan pesakit sebelum menjalani rawatan ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Jelasnya, penyakit tulang atau saraf yang dihadapi seseorang pesakit selama bertahun-tahun lama hakikatnya perlu dibuat dalam beberapa sesi berulang kali bagi memastikan penyembuhan benar-benar berlaku.
Dalam pada itu, Nur Fazlina yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Kiropraktor berkata, kesedaran masyarakat masih kurang memandangkan banyak iklan kiropraktor palsu yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan dipromosikan di platform media sosial.
Ujarnya, di Malaysia hanya International Medical University menawarkan pengajian Ijazah Sarjana Sains Muda Kiropraktor, manakala kiropraktor haram pula mendakwa mempelajari turun-temurun daripada ‘sifu’ atau ‘master’ dalam masa satu atau dua hari sahaja.
“Bayangkan kami yang bertauliah perlu belajar sehingga lima tahun lamanya, tetapi mereka (kiropraktor) haram belajar sehari atau dua hari terus beri rawatan pada pesakit. Bagi saya, ini amat membimbangkan kepada pesakit yang kurang tahu kerana banyak risiko,” tegasnya.














