fbpx

Mahkamah: Pembelaan Najib berhasrat panggil Tommy sebagai saksi kes pecah amanah RM6.6 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Najib dan Tommy.

KUALA LUMPUR – Pihak pembelaan yang mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes enam pertuduhan pecah amanah RM6.6 bilion memaklumkan bahawa mereka berhasrat untuk memanggil bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas sebagai saksi.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada sebutan kes pecah amanah harta kerajaan berjumlah RM6.6 bilion di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Turut didakwa dalam kes itu ialah bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd. Irwan Serigar Abdullah.

Pada prosiding bertarikh 7 Januari 2019, pihak pendakwaan pada ketika itu memaklumkan pihaknya akan memanggil kira-kira 70 orang saksi untuk memberi keterangan.

Perbicaraan kes pecah amanah itu sepatutnya bermula pada 9 Julai 2019 namun ditangguhkan bagi memberi laluan kepada kes penyelewengan dana RM42 juta SRC International Sdn. Bhd. dan penyelewengan dana RM2.28 bilion 1Malaysia Development Berhad (1MDB); kedua-duanya dihadapi oleh Najib.

Terdahulu pada prosiding pagi, Mahkamah Tinggi menetapkan 30 hari bermula Jun ini dan Julai tahun depan bagi perbicaraan kes itu.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menetapkan tarikh-tarikh tersebut selepas dipersetujui kedua-dua belah pihak.

Tarikh-tarikh yang ditetapkan itu ialah 4 hingga 6, 10 hingga 13, 19 dan 20, 24 hingga 27 Jun yang kemudian bersambung pada Julai iaitu 2 hingga 4, 9 hingga 11, 15 hingga 18, 22 hingga 25, dan 29 hingga 31.

Pada Februari lalu, media melaporkan Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) dan 1MDB telah mencapai satu penyelesaian mengenai pertikaian mereka dengan IPIC dan Aabar Investments PJS (Aabar PJS).

Perkara itu ialah mengenai prosiding undang-undang di Mahkamah Timbangtara Antarabangsa London dan Mahkamah Tinggi London.

Menurut Kementerian Kewangan, IPIC dan Aabar PJS dari Abu Dhabi bersetuju untuk membayar AS$1.8 bilion (kira-kira RM8.06 bilion) kepada MoF Inc dan 1MDB. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI