RIBUT dan kehangatan isu Himpunan RXZ Member 5.0 kelihatan masih belum reda meskipun acara tersebut telah berakhir. Hampir kesemua peserta himpunan tersebut telah pulang ke destinasi masing-masing.
Paling panas adalah isu ‘pukat-memukat’ iaitu operasi yang dilaksanakan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan polis yang didakwa sebagai punca utama program tersebut tidak berjalan lancar seperti yang sepatutnya.
Pihak penganjur mendakwa acara kali ke-5 bertempat di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak itu dihadiri oleh lebih 60,000 peserta dari seluruh negara.
Malah, ada peserta yang datang dari negara jiran seperti Thailand, Indonesia, Brunei dan Singapura.
Kita tidak pasti kesahihan jumlah berkenaan kerana 60,000 itu hampir memenuhkan Stadium Bukit Jalil dan melimpah-ruah jika setiap seorang mengisi tempat duduk di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin sendiri.
Apa yang pasti kegilaan peminat motosikal Yamaha RXZ 135 tersebut dilihat amat luar biasa.
Jentera dua stroke yang mula-mula berada di pasaran pada tahun 1985 dan dihentikan pada 2011 itu kini menjadi rebutan ramai, malah dilaporkan ada yang mempunyai nilai sehingga RM70,000 sebuah!
Beberapa pendapat mengatakan motosikal RXZ sangat unik kerana memiliki reka bentuk yang segar, tidak dimakan dek zaman selain mempunyai nilai sentimental yang tinggi serta kini dijadikan barangan hobi atau koleksi.
Malah ada pendapat mengatakan jentera tersebut memiliki ciri-ciri motosikal yang sempurna terutama kepada yang sukakan kuasa, kelajuan, gaya dan kebebasan.
Berbalik kepada Himpunan RXZ Member 5.0 ternyata memberi kesan yang ketara kepada pihak berkuasa.
Beberapa pihak menyifatkan tidak wajar diadakan operasi sekatan jalan raya dan pemeriksaan ketika acara yang penuh meriah seperti itu diadakan.
Lebih parah, ada yang mengaitkan tindakan tersebut sebagai cubaan untuk merosakkan acara berkenaan sekali gus memburukkan nama baik kerajaan negeri. Nak tergelak penulis apabila hari ini RXZ pun terlibat sama dengan polemik parti politik negara!
Pada penulis, jika semua pihak mengambil sikap positif, tidak berlaku tuduh-menuduh atau melabelkan tindakan pihak berkuasa dengan pelbagai kata nista.
Tidak ada apa untung pun JPJ dan polis bertindak selain mahu memastikan semua orang mematuhi undang-undang jalan raya.
Apa guna kita mempunyai undang-undang, tetapi akhirnya kita mahu pihak berkuasa ‘menutup mata’ dan menghalalkan sebilangan pemilik RXZ ini melanggar undang-undang seperti menggunakan ekzos paip, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, malah ada yang langsung nombor pendaftaran.
Bak kata seorang netizen, standard itu indah. Tiada siapa pun nak sekat, ganggu atau seret untuk dipamerkan di balai! Menangis kemudian tidak berguna lagi.














