fbpx
Bukit Aman memberitahu Selangor mencatatkan jumlah tertinggi kes keganasan rumah tangga diikuti Kedah, Sarawak dan Kelantan. – GAMBAR HIASAN

Selangor nombor satu kes keganasan rumah tangga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Selangor ‘menjuarai’ kes keganasan rumah tangga diikuti Kedah, Sarawak dan Kelantan dengan kaum wanita terus menjadi mangsa utama berbanding lelaki disebabkan masalah dadah dan ada kes cuma kerana masakan tidak sedap.

Satu statistik yang dikeluarkan Bukit Aman menunjukkan, sebanyak 22,003 kes keganasan rumah tangga direkodkan dari tahun 2020 hingga Jun lalu.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, rekod tertinggi dicatatkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan pada 2021 iaitu sebanyak 7,468 diikuti 5,260 kes pada 2020, 6,540 (2022) dan 2,735 pada tahun ini sehingga Jun lalu.

“Selangor paling tinggi iaitu 4,515, Kedah (2,516 kes), Sarawak (2,094) dan Kelantan (1,670) de­ngan wanita terus menjadi ­mangsa utama apabila mendominasi 71 peratus atau bersamaan 15,792 mangsa berbanding lelaki (6,211).

“Paling ramai mangsa keganasan rumah tangga yang dilaporkan melibatkan usia antara 36 hingga 45 tahun iaitu seba­nyak 6,585 kes,” katanya kepada ­Kos­mo! baru-baru ini.

Siti Kamsiah

Menurut Siti Kamsiah, antara punca kejadian adalah disebabkan dadah dan tahap kesihatan mental yang tenat ekoran masalah kewangan, hilang kerja, sukar membayar bil atau hutang selain gagal mengurus duit hingga memberi tekanan ketara.

Tambahnya, kebanyakan mangsa melibatkan lingkungan usia 30 dan 40-an kerana pada tempoh itu mereka perlu memikirkan soal kewangan, pengurusan anak dan tidak ketinggalan apabila terlibat dengan dadah.

“Ketika wanita terus dijadikan ‘karung tinju’, pasangan lelaki tidak terlepas kerana ada yang dipukul hingga cedera ketika proses tuntutan cerai oleh isteri,” katanya.

Ujar Siti Kamsiah, dadah menjadi punca utama berlaku kes keganasan rumah tangga, namun perselisihan faham dan kewa­ngan juga menyumbang kepada peningkatan kes.

“Statistik menunjukkan sebanyak 4,797 kes melibatkan perselisihan faham diikuti dadah (4,638) dan wang (2,046). Kesemua motif itu berkait rapat dengan kes kerana bila tiada wang, suami akan mula memukul isteri,” katanya.

Menurut Siti Kamsiah, ada juga kes berkait dengan tahap kesihatan mental iaitu bermula dengan pergaduhan kecil dan remeh seperti makanan tidak sedap, menutup pintu dengan kuat dan salah letak barang di tempat sepatutnya hingga mengakibatkan pasangan naik angin lalu memukul pasangan.

Katanya, pengetahuan mendalam mengenai hak terhadap tubuh badan khususnya kaum ibu amat penting bagi menge­lakkan mereka didera.

“Mangsa dera hendaklah melaporkannya kepada polis dan kita akan bantu. Di peringkat awal mungkin suspek akan dikenakan denda dan diharap dia sedar perbuatannya yang sudah melampaui batas,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan tanggungjawab dan peranan semua pihak termasuk jiran tetangga, keluarga terdekat atau jiran serta badan bukan kerajaan diperlukan bagi membendung kejadian itu supaya proses pemulihan kaunseling boleh dijalankan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN