fbpx

18 saudara-mara hilang sekelip mata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SUKARELAWAN cuba menenangkan beberapa wanita selepas mayat waris mereka ditemui di bawah timbunan kediaman di Kampung Imi N'Tala dekat Amizmiz kelmarin. -- AFP

RABAT, Maghribi – Pasukan penyelamat di Maghribi kelmarin menggandakan usaha untuk mencari mangsa terselamat dalam tragedi gempa bumi yang membunuh lebih 2,100 orang dan meratakan banyak perkampungan.

Anggota-anggota penyelamat asing pertama berlepas untuk membantu negara Afrika Utara itu yang dilanda gempa bumi paling kuat, mengakibatkan sekurang-kurangnya 2,122 orang terkorban dan lebih 2,400 lagi cedera, manakala ramai antara mereka parah.

Gempa bumi kuat berukuran 6.8 pada skala Richter lewat Jumaat lalu itu berlaku 72 kilometer ke barat daya kota pelancongan, Marrakesh dan memusnahkan beberapa buah kampung di Banjaran Atlas.

Satu gempa susulan bermagnitud 4.5 turut menggegarkan rantau sama kelmarin.

Kampung Tafeghaghte yang terletak di kawasan pergunungan sekitar 60 kilometer dari Marrakesh, hampir musnah seluruhnya dengan hanya beberapa bangunan masih berdiri, lapor pasukan berita AFP.

Di tengah-tengah timbunan runtuhan, pasukan penyelamat awam dan angkatan bersenjata Maghribi terus mencari mereka yang terselamat dan mayat mangsa.

AFP melihat mereka mengeluarkan satu mayat dari bawah runtuhan sebuah rumah. Empat lagi mangsa masih tertimbus, kata beberapa penduduk.

“Semua orang terkorban! Hati saya hancur,” kata Zahra Benbrik, 62, yang kehilangan 18 saudara-mara dalam tragedi itu, manakala hanya mayat saudara lelakinya yang masih terperangkap.

Banyak rumah di kampung itu dibina daripada batu-bata diperbuat daripada lumpur.

Di Kampung Amizmiz, dekat Tafeghaghte, sebuah traktor menarik runtuhan paling berat sebelum anggota-anggota penyelamat menggali serpihan untuk mengeluarkan mayat yang tertimbus.

Dua kampung itu terletak di wilayah Al-Haouz yang menjadi lokasi pusat gempa di mana pihak berkuasa merekodkan sejumlah 1,351 kematian.

Menurut stesen televisyen tempatan, lebih 18,000 keluarga terjejas akibat gempa bumi di Al-Haouz.

Sementera itu, Kementerian Pertahanan Sepanyol menyatakan, sebuah pesawat A400 berlepas dari Zaragosa bersama 56 anggota penyelamat dan empat anjing pengesan menuju ke Marrakesh untuk membantu usaha mencari dan menyelamat mang­sa.

“Kami akan menghantar apa sahaja yang diperlukan kerana tempoh beberapa jam pertama ini amat kritikal terutamanya jika ada mangsa terperangkap di bawah runtuhan,” kata Menteri Pertahanan, Margarita Robles.

Di Marrakesh, Fatema Satir tidur di kaki lima jalan selama dua malam. Dia seperti juga penduduk lain, bimbang rumah mereka akan runtuh.

“Tiada bantuan untuk kami. Rumah kami retak dan yang lain runtuh seperti kediaman anak perempuan saya. Kami dalam keadaan huru-hara,” katanya.

Di dataran bersejarah Jemaa el-Fna di Marrakesh, kira-kira 20 orang tidur di atas lantai simen berbekalkan selimut dengan sebilangan yang lain tinggal di kawasan berumput dekat bangunan majlis perbandaran.

Maghribi mengisytiharkan tem­poh berkabung selama tiga hari.

Selain Sepanyol, Maghribi mengumumkan kelmarin bahawa ia telah menerima bantuan daripada hanya tiga negara lain iaitu Britain, Qatar dan Emiriyah Arab Bersatu.

Dalam perkembangan ber­kaitan, Palang Merah memberi amaran bahawa masa bertahun-tahun diperlukan untuk membaiki kerosakan yang berlaku.

“Bukan seminggu atau dua minggu. Masa berbulan-bulan hingga beberapa tahun diperlukan,” kata Pengarah Palang Merah Asia Barat dan Afrika Utara, Hossam Elsharkawi.

Gempa bumi Jumaat lalu adalah yang paling dahsyat pernah menimpa Maghribi selepas gegaran pada 1960 memusnahkan Agadir dan membunuh lebih 12,000 orang. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI