fbpx

M. Nasir tak perlu janji ‘spectacular’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TIDAK hanya tentang muzik dan kegembiraan luaran, M. Nasir berharap pesta Gendang Pati menjadi pengisian jiwa setiap penonton.

DIHARAPKAN bergema menjadi pesta keraian bukan hanya tentang muzik, bahkan jiwa seluruh rakyat, Gendang Pati bukan sembarangan ‘gendang’. ‘Gendang’ Datuk M. Nasir sejak dari dahulu dan sampai bila-bila pun tidak tergoyah.

Lewat persembahan digelar Gendang Pati, Datuk M. Nasir sudah pun menghimpunkan peminat dalam sebuah pesta yang mengisi bukan sahaja kegembiraan luaran tapi diikuti jiwa.

Keraian muzik yang mengisi kecanduan pesta Gendang Pati telah meninggalkan impak bukan sedikit saat dipersembahkan di Singapura tempoh hari.

Kini, konsep serupa mahu dikongsi dan diserapkan ke dalam jiwa sekalian penggemarnya di Kuala Lumpur.

Dinamakan Gendang Pati Datuk M. Nasir Live in Kuala Lumpur, persembahan berkenaan bakal menyapa penggemar di Dewan Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 18 November 2023, bermula 8 malam.

M.NASIR menyifatkan penganjuran konsert sebagai indikasi sihat industri muzik.

Sepanjang pesta Gendang Pati yang dibawakan MND Sport & Event Sdn. Bhd, M. Nasir sebenarnya tidak perlu menjanjikan persembahan yang ‘spectacular’ atau luar biasa.

Namun mengenali pelantun Bagaikan Sakti itu, tidak pernah ada yang sederhana dalam pesta muzik beliau yang selalu berjaya mengajak jiwa menyanyi dan menari sepanjang acara.

“M. Nasir sudah merangkumi seluruh perkara seni yang luar biasa dan hebat.

Jadi kami percaya dengan kemampuan penghibur yang satu ini.

“Beliau telah membawa roh yang kuat terhadap karya yang dilahirkan sejak berzaman.

“Gendang Pati Datuk M. Nasir Live in Kuala Lumpur, ibarat kerja seni yang akan mengalir dengan lancar dan semula jadi,” ujar Daniel mewakili MND Sport & Event.

Buat M. Nasir, Gendang Pati versi Kuala Lumpur terlestari demi kecintaan dan kecanduan penggemar yang sentiasa mahukan aksinya.

Konsert berkenaan juga lambang kelangsungan kariernya yang sentiasa ‘hidup’ tak lapuk dek zaman.

GENDANG Pati versi KL akan dibarisi pemuzik hebat, antaranya pemain gitar Nan Alias selaku pengarah muzik, Rafi Mohd, Norman, Firdaus Mahmud dan Eddie Slam, Ujang Exists serta penyanyi latar Eja, Widy Yuaz.

“Saya perlu bersyukur kerana meski sudah melakukan banyak persembahan pentas, masih seorang M. Nasir sentiasa ingin disapa, ditonton dan diminta mendendangkan karya yang ada secara langsung.

“Ini bukan tentang saya seorang tapi indikasi sihat industri muzik dan perkembangannya yang sentiasa positif.

Yang pastinya, malam itu nanti akan dipenuhi dengan bunyi-bunyian gendang yang membuatkan semua berdendang bergoyang.

“Saya harap konsert itu menjadi sebuah lagi persembahan saya tahun ini yang mampu membantu mengisi kecanduan semua,” ujar M.Nasir.

Malam itu nanti, moga ‘roh’ dan jiwa segenap pelosok Dewan Plenary bertebaran kegembiraan, berbahagia menyambut, lalu meraikan pesta muzik yang bakal dipersembahkan sang legenda, sang maestro dan sang sifu tiada gantinya itu.

Tiket-tiket berharga RM228 hingga RM888 bagi menyaksikan Gendang Pati M. Nasir boleh didapati menerusi laman web MyTicket.Asia.
Hubungi talian hotline 03-8605 0195 untuk maklumat lanjut.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI