fbpx

PDRM, RTP cadang tubuh jawatankuasa banteras jenayah siber

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shuhaily (tengah) dan Sarawut ( enam kiri) bersama barisan kepimpinan polis kedua-dua negara.

SHAH ALAM – Sebuah jawatankuasa bersama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Polis Diraja Thailand (RTP) dicadangkan penubuhannya dalam membanteras jenayah siber rentas sempadan antara dua negara tersebut.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Shuhaily Mohd. Zain berkata, perkara tersebut akan dibawa untuk perbincangan lebih mendalam di peringkat tertinggi PDRM.

“Saya akan memaklumkan kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkaitannya (penubuhan jawatankuasa itu) memandangkan jenayah siber adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK).

“Kita berharap dapat tubuhkan jawatankuasa ini demi kebaikan bersama,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Terdahulu beliau bersama Ketua delegasi RTP, Leftenan Jeneral Polis Sarawut Karnpanich menyempurnakan penutupan Mesyuarat Majlis Jawatankuasa Kerja Antara Malaysia dan Thailand Mengenai Aktiviti Jenayah Ke-26.

Mesyuarat khas selama dua hari itu turut memfokuskan perbincangan isu jenayah rentas sempadan seperti aktiviti keganasan, penyeludupan dadah dan manusia selain jenayah laut serta lanun.

Kata Shuhaily, penubuhan jawatankuasa ini turut memudahkan pertukaran maklumat antara kedua-dua polis negara.

“Seperti contoh sindiket penipuan dalam talian yang berpengkalan di Malaysia dan melakukan penipuan terhadap orang di Thailand dan sebaliknya.
.
“Berikutan had kuasa kedua-dua pasukan polis, kita menghadapi masalah untuk membanteras sindiket ini,” jelasnya.

Sementara itu, Sarawut turut mengakui jenayah siber menjadi pemasalahan utama di Thailand berbanding jenayah harian biasa.

“Jenayah ini telah menjadi isu global dan aspek penting ketika ini adalah perkongsian maklumat, perisikan dan koordinasi serta operasi bersama dalam melumpuhkan jenayah penipuan ini secara keseluruhannya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI